ARTIKEL

Sepakat bangunkan kampung

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SOAL membangunkan sesuatu kawasan dengan niat untuk menjadikannya lebih teratur, selesa dan terus berkur berlanjutan bukan perkara mudah. Apatah lagi apabila pembangunan itu melibatkan tanah.

Isu tanah bukan sekadar soal keluasan atau nilai harta, tetapi turut menentukan hak pemilik, kepentingan masyarakat dan masa depan generasi akan datang.

Persoalan paling asas apabila kerajaan bercadang membangunkan atau membersarkan sesebuah kampung ialah, di manakah pembangunan itu hendak dilaksanakan?

Jawapannya mudah. Sudah tentu memerlukan tanah yang bersesuaian, khususnya tanah kosong yang boleh digunakan untuk menyediakan kawasan kediaman baharu, kemudahan asas serta ruang bagi menampung pertambahan penduduk.

Namun, apabila tanah yang dikenal pasti itu dimiliki oleh individu, timbul pula persoalan lain. Adakah pemilik tanah bersedia memberikan kerjasama demi kepentingan bersama?

Di sinilah kadangkala bermulanya cerita yang bukan sahaja rumit, malah boleh menyebabkan hasrat pembangunan kampung hendak berhenti begitu sahaja.

Ramai juga yang muran hati, bertimbang rasa dan memahami kepentingan pembangunan untuk masyarakat sekeliling. Namun bukan semua orang kaya atau pemilik tanah bersikap demikian.

Bagaimanapun, kita tidak boleh menafikan ada segelintir yang terlalu berpegang kepada kepentingan sendiri sehingga sukar menerima sebarang cadangan pembangunan, walaupun manfaatnya boleh dinikmati oleh ramai orang.

Ada yang mempunyai tanah yang luas, tetapi apabila kerajaan bercadang menggunakan tanah itu untuk membesarkan kampung, persetujuan tidak diberikan.

Bukan kerana tanah itu satu-satunya tempat tinggal mereka. Bukan juga kerana mereka tidak mempunyai sumber kewangan lain. Sebaliknya, ada yang beranggapan tanah berkenaan mesti terus kekal dalam pemilikan mereka tanpa mengambil kira keperluan penduduk lain yang semakin mendesak.

Bayangkan, apabila dipujuk dan ditawarkan pampasan yang sewajarnya berdasarkan nilai semasa, jawapannya masih tetap tidak. Ada pula yang berpendirian, kalau diberikan bulan dan bintang sekalipun, tanah mereka tidak akan dilepaskan untuk kegunaan orang lain.

Kalau sudah begitu pendiriannya, apa yang boleh dilakukan? Sedangkan kerajaan bukannya datang untuk mengambil tanah seukut hati.

Cadangan yang dibawa adalah untuk tujuan pembangunan, dengan pampasan yang munasabah kepada pemilik tanah mengikut proses dan peraturan yang berkenaan.

Malangnya, apabila persetujuan tidak dicapai, rancangan yang pada asalnya bertujuan membawa manfaat kepada masyarakat terpaksa berhadapan jalan buntu.

Akhirnya, impian untuk melihat kampung berkembang dengan lebih teratur mungkin terpaksa dilupakan, sekurang-kurangnya buat sementara waktu.

Persoalannya, sampai bila pembangunan kampung hendak bergantung kepada kesediaan segelintir pemilik tanah? Kita perlu melihat perkara ini dari sudut yang lebih luas. Kampung bukan sekadar tempat kita dilahirkan, membesar dan menjalani kehidupan hari ini.

Kampung juga merupakan tempat yang bakal diwarisi oleh anak-anak, cucu-cucu dan cicit-cicit kita pada masa hadapan. Hari ini, mungkin rumah masih boleh dibina di sana sini. Masih ada ruang untuk menambah kediaman, membuka laluan dan menyediakan kemudahan asas.

Namun, apabila penduduk semakin bertambah, tanah yang ada semakin terhad dan kawasan kediaman menjadi semakin padat, keadaan itu tentu membawa cabaran tersendiri.

Cuba kita bayangkan keadaan kampung 10, 20 atau 30 tahun akan datang sekiranya tiada perancangan untuk membesarkannya dari sekarang.

Anak-anak yang sudah dewasa mahu mendirikan rumah tangga, tetapi tidak mempunyai ruang yang sesuai untuk membina rumah. Cucu-cucu pula memberitahu keperluan yang semakin bertambah, sedangkan kawasan kampung tidak lagi mampu menampung pertumbuhan penduduk.

Akhirnya, ada yang terpaksa berhijrah ke tempat lain untuk mencari ruang kehidupan yang lebih baik. Bukan kerana mereka tidak sayangkan kampung halaman, tetapi kerana peluang untuk terus menetap di kampung sendiri semakin terbatas.

Tanah yang luas masih kekal menjadi milik individu, sedangkan sebahagian penduduk lain terpaksa mencari tempat baharu untuk membina kehidupan.

Persoalannya, adakah ini masa depan yang kita mahukan untuk generasi akan datang? Lebih menyedihkan, selepas 10, 20 atau 30 tahun berlalu, mungkin akan muncul suara-suara yang mempersoalkan kepimpinan kampung pada hari ini.

Ada yang mengatakan pemimpin terdahulu tidak bekerja, tidak berusaha dan tidak memperjuangkan pembangunan kampung ketika mereka diberikan tanggungjawab.

Cucu dan cicit yang tidak mengetahui cerita sebenar mungkin menyalahkan pemimpin lama kerana kampung tidak berkembang, kawasan kediaman semakin sempit dan peluang membina rumah semakin terbatas.

Sedangkan mereka tidak tahu, pemimpin akur umbi ketika itu mungkin sudah berusaha sedaya upaya, mengadakan perbincangan, memujuk pemilik tanah dan membawa cadangan kepada pihak berkenaan.

Namun, apabila persetujuan tidak diperoleh, usaha itu tidak dapat diteruskan seperti yang dirancang. Akhirnya, pemimpin yang pernah berjuang untuk pembangunan pula dipersalahkan, sedangkan keputusan yang menghalang usaha tersebut bukan sepenuhnya berada dalam tangan mereka.

Inilah perkara yang perlu kita fikirkan bersama. Jangan sampai kepentingan generasi akan datang terpaksa dikorbankan hanya kerana kita terlalu mementingkan kepentingan sendiri pada hari ini.

Memang benar, tanah ialah harta yang mempunyai nilai. Pemiliknya berhak mempertahankan hak masing-masing dan tidak wajar dipaksa melepaskan tanah tanpa melalui proses yang sah.

Namun, pada masa yang sama, kita juga perlu memahami, pembangunan yang dirancang dengan baik boleh memberikan manfaat kepada masyarakat secara keseluruhan.

Sebab itulah, apabila kerajaan membawa cadangan untuk membesarkan kampung, perkara tersebut seharusnya dilihat sebagai satu usaha menyediakan ruang kehidupan yang lebih baik, bukannya semata-mata urusan mengambil tanah milik seseorang.

Sekiranya tanah diperlukan dan pemiliknya perlu diperoleh melalui proses yang berkenaan, perbincangan hendaklah dilakukan secara terbuka, adil dan mengikut undang-undang.

Pampasan pula perlu dinilai secara munasabah berdasarkan nilai semasa serta ketetapan yang terpakai. Pemilik tanah juga wajar diberikan ruang untuk menyuarakan kebimbangan mereka.

Mungkin ada perkara yang perlu diperjelas, ada persoalan yang belum terjawab atau ada kebimbangan tentang hak dan kepentingan keluarga masing-masing. Semua itu boleh dibincangkan. Tidak salah untuk bertanya, meneliti dan mendapatkan penjelasan sebelum membuat keputusan.

Namun, janganlah kerana terlalu lama berpegang kepada pendirian sendiri, segala ruang perbincangan ditutup sehingga peluang pembangunan yang membawa manfaat kepada masyarakat turut terjejas.

Kita perlu sedar, pembangunan kampung bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata. Pemimpin akar umbi, penduduk, pemilik tanah dan semua pihak berkepentingan mempunyai peranan masing-masing untuk memastikan kampung terus berkembang.

Pemimpin kampung berusaha membawa cadangan yang sesuai, kerajaan pula meneliti keperluan dan melaksanakan proses mengikut peraturan, manakala penduduk hendaklah memberikan pandangan serta kerjasama yang membina.

Pembangunan yang baik memerlukan kesepakatan. Tanpa kerjasama, rancangan yang paling baik sekalipun boleh terbantut sebelum sempat dilaksanakan.

Akhirnya, kita perlu bertanya kepada diri sendiri — apakah yang lebih penting, mempertahankan kepentingan sendiri tanpa mempertimbangkan orang lain, atau mencari jalan tengah supaya semua pihak dapat menikmati manfaat pembangunan?

Tanah mungkin boleh diwariskan dari satu generasi kepada generasi berikutnya, tetapi ruang untuk membangunkan kampung tidak semestinya sentiasa tersedia.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU