Sepasang suami isteri ditahan tanam pokok ganja di Landeh

KUCHING: Sepasang suami isteri ditahan bagi membantu siasatan polis terhadap kes penemuan sebuah pasu berisi pokok ganja di tingkat dua beranda kediaman mereka di Kampung Paya Mebi, Landeh, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Aidil Bolhassan berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan Dadah (BSJND) Padawan di lokasi sekitar jam 3.10 petang.

Menurutnya, kedua-dua suspek masing-masing berusia 44 dan 35 tahun itu berada di dalam rumah berkenaan ketika serbuan dijalankan.

“Setibanya di lokasi, pasukan operasi telah memperkenalkan diri sebelum membuat pemeriksaan ke atas kedua-dua sabjek.

“Hasil pemeriksaan lanjut pasukan telah menemui satu pasu berwarna hijau berisi pokok ganja dengan ketinggian sekitar lapan sentimeter (cm) di tingkat dua kediaman terbabit,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek lelaki mengaku telah membawa balik pokok yang ditemuinya di lorong 2, Kampung Paya Mebi lalu menanam dan menjaganya selama hampir tiga minggu di rumah.

Tambahnya, hasil pemeriksaan polis bagaimanapun tidak menemui sebarang pokok ganja yang lain berada di lokasi berkenaan.

Susulan itu, Aidil memberitahu, kedua-dua suspek bersama barangan kes seterusnya dibawa ke pejabat BSJND Padawan untuk tindakan siasatan lanjut.

Dedahnya, semakan rekod polis turut mendapati suspek lelaki mempunyai dua kes jenayah dadah lampau di bawah Seksyen12(2) Akta Dadah Berbahaya(ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Ujarnya, kes kini masih disiasat di bawah Seksyen 6B ADB 1952.

Suara Sarawak