Seperti menunggu hukuman mati

MIRI: Pengalaman selama 62 hari di hospital di sini ternyata merupakan pengalaman amat mendebarkan dan sukar dilupakan, kongsi seorang bekas pesakit Covid-19.

Bekas pesakit Covid-19 yang tidak mahu didedahkan identiti itu berkata, dia berasa amat gembira apabila mengetahui keputusan yang disahkan negatif sekali gus bebas Covid-19.

“Saya sudah melalui situasi genting kerana tidak tahu nasib saya sama ada selamat pulang ke rumah ataupun tidak.

“Saya tidak tahu nasib saya seakan-akan menunggu hukuman mati.

“Saya dibebaskan dari Hospital Miri setelah mendapat keputusan negatif buat kali kedua berturutturut.

“Kemudian diarah menjalani kuarantin dua minggu lagi di pusat kuarantin ditetapkan,” katanya.

Tambahnya, tempoh rawatan di Hospital Miri selama dua bulan dua hari dirasakan sama seperti tempoh dua tahun dua bulan.

“Benarlah kata orang bahawa penantian itu amat menyeksakan.

“Saya menjalani 10 kali ujian saringan. Jadi betapa gembiranya saya apabila mendapat keputusan negatif Covid-19 dan dibenarkan keluar hospital,” ujarnya.

Terdahulu, dua bekas pesakit Covid-19 itu meraikan detik bersejarah pada tarikh 27 Mei selepas dibenarkan keluar Hospital Miri.

Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin yang juga menteri bertanggungjawab bagi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri berkata, JPBB berasa gembira setelah menerima berita baik daripada hospital yang memaklumkan kedua-duanya bebas wabak maut itu.

“Kami berasa gembira untuk dua pesakit yang pulih dan ingin mengucapkan tahniah kepada mereka.

“Selain itu, JPBB juga ingin mengucapkan terima kasih kepada hospital, barisan hadapan dan semua yang prihatin atas dedikasi, komitmen dan ketekunan mereka dalam mengatasi Covid-19,” ujarnya.

Suara Sarawak