Serang sambil bertahan

KETUA jurulatih Kuching FA, Ideris Untong memberi pesanan kepada anak-anak buahnya agar tidak terlalu ghairah ketika menyerang, tetapi agak lupa untuk bertahan.

Katanya, barisan pemain perlu bijak menghadapi dua situasi tersebut agar lebih tenang ketika menyerang, sambil sentiasa berjaga-jaga mengawal kubu.

Oleh itu, Ideris sentiasa fokus kepada aspek penguasaan bola sepanjang sesi latihan.

“Kita perlu menguasai bola dengan baik terutama ketika menyerang.

“Malah penguasaan bola juga memain peranan penting ketika kita menyerang sambil bertahan,” kata Ideris.

GIGIH… Rangkaian pemain Kuching FA giat berlatih sebagai perrsiapan untuk aksi Ahad ini.

Kuching FA yang masih gah menguasai carta Liga M3 akan turun menentang Puchong Fuerza di gelanggang lawan Ahad ini.

Bagaimanapun aksi yang kurang kemas pada babak pertama ketika membenam Johor Bahru di Stadium Sarawak Sabtu lalu agak merimaskan Ideris.

Mereka terpaksa menunggu minit ke-78 untuk meleraikan ikatan menerusi bekas pemain tengah Sarawak, Mohamad Hafis Saperi.

Oleh itu, dia memberi penekanan kepada bahagian tengah dan serangan agar lebih berfungsi sepanjang saingan.

Selain itu, Ideris juga menitikberatkan aspek kecergasan fizikal dan mental.

Kuching FA perlu meneruskan rentak kemenangan kerana sekarang ini sedang dikejar rapat, Kelantan United yang diterajui bekas pemain Malaysia, Bahdri Razi atau lebih dikenali sebagai Piya.

Kuching FA, satu-satunya pasukan yang belum lagi kalah setelah melalui 12 perlawanan dengan catatan 10 kemenangan dan dua kali seri.