Serba Dinamik harap 2021 bawa sinar baharu

KUCHING: Syarikat Serba Dinamik Holding Bhd memerlukan lebih banyak pemain industri dari luar bagi meluaskan pelaburan sedia ada.
Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan Serba Dinamik, Datuk Dr Ir Mohd Abdul Karim Abdullah berkata, terdapat banyak potensi yang dilihat dari negara luar yang perlu dikembangkan.
“Berdasarkan pandemik yang berlaku, kita juga boleh mengambil pendekatan mengadakan persidangan melalui video bagi menarik minat pihak yang berkaitan.
“Ia adalah untuk meningkatkan jumlah pelabur asing menyertai Serba Dinamik seperti Singapura, Hong Kong, Amerika Syarikat dan banyak lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu temu bual khas bersama Astro Awani berkaitan “Hala Tuju Serba Dinamik Menjelang 2021,” pada malam Jumaat.
Menurutnya, antara beberapa wilayah yang dilihat berpotensi besar dalam industri ini termasuklah Afrika, berdasarkan kedudukan geografinya.
Abdul Karim berkata, bahawa pihaknya amat yakin dengan peluang yang ada di Afrika dalam pembangunan industri kejuruteraan.
“Kita mengharapkan agar tahun 2021 memberi sinar baharu kepada semua peniaga dan pelabur untuk memulihkan semula sektor yang terjejas.
“Sejajar langkah menuju ke hadapan, saya sangat yakin tahap kebergantungan masyarakat terhadap sumber minyak dan gas semakin akan meningkat dan diutamakan pada masa akan datang,” katanya lagi.
Untuk rekod, Serba Dinamik pernah melaksanakan beberapa projek dalam operasinya yang merangkumi pojek loji chlor-alkali di Taznania, data selamat untuk pembangunan dan pembinaan di Republik Guinea dan beberapa projek lain.
Oleh itu, beliau berharap agar Serba Dinamik kekal stabil dalam pencapaiannya sebagai penyumbang terbesar dalam ekonomi negara.