KUCHING: Sarawak Energy Berhad (SEB) memperkenalkan nama Seri Batang Ai bagi bot elektrik bersepadu solar pertama yang dibangunkan khusus untuk menyokong operasi di Empangan Hidroelektrik Batang Ai.
Bot sepanjang 10 meter itu dinamakan secara rasmi oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada majlis yang diadakan di Pangkalan Sapi, Kuching, hari ini, bersempena Regata Sarawak 2026.

Hadir sama Timbalan Premier Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekita Datuk Len Talif Salleh, dan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar (MEESty) Datuk Dr Hazland Abang Hipni.
Dibina oleh syarikat tempatan Global Fibreglass Industries, bot berkenaan menggunakan sistem pendorongan elektrik yang direka oleh pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalaman Sarawak Energy.
Ia dibangunkan khusus untuk menjalankan pemeriksaan keselamatan empangan, pemantauan alam sekitar serta mengangkut petugas merentasi takungan air Batang Ai.
Seri Batang Ai dilengkapi dua motor sangkut elektrik berkuasa 40 kilowatt (kW) setiap satu serta kapasiti bateri sebanyak 92 kilowatt-jam (kWj).
Sistem itu disokong panel solar atas bumbung berkapasiti 3.6 kWp, manakala pengecasan melalui grid turut disediakan bagi memastikan bekalan tenaga mencukupi untuk operasi.
Bot itu mempunyai jarak operasi dianggarkan antara 40 hingga 50 kilometer dengan tempoh operasi kira-kira tiga hingga empat jam, kelajuan maksimum 25 kilometer sejam, dan kapasiti membawa sehingga 12 penumpang berdaftar.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Dato Ruslan Abdul Ghani berkata, pembangunan bot itu menyambung inisiatif e-Penambang terdahulu yang menggunakan bot konvensional diubah suai kepada sistem elektrik.
Menurutnya, Seri Batang Ai menyediakan platform untuk Sarawak Energy memperluas keupayaan penyelidikan dan pembangunan, mengukuhkan kepakaran kejuruteraan tempatan serta meneroka penggunaan teknologi tenaga bersih dalam sektor marin.
“Berbanding bot yang menggunakan bahan api fosil, sistem pendorongan elektrik itu tidak menghasilkan pelepasan ekzos secara langsung serta mengurangkan bunyi dan getaran, sekali gus meminimumkan gangguan terhadap alam sekitar dan biodiversiti.
“Selain menyokong operasi empangan, bot ini turut digunakan untuk pengangkutan pekerja dan pelawat, termasuk lawatan teknikal ke ladang solar terapung berhampiran Batang Ai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Seri Batang Ai mula diperkenalkan ketika sambutan ulang tahun ke-40 Empangan Hidroelektrik Batang Ai pada 2025.
Sarawak Energy menerima Lesen Bot dan Permit Pengangkutan Sungai bagi bot itu pada 21 Oktober lalu.
Pengenalan bot berkenaan mencerminkan usaha Sarawak Energy meneroka aplikasi praktikal teknologi tenaga bersih, di samping memperkukuh kepakaran tempatan dan menyokong operasi yang lebih cekap serta mesra alam.




