ARTIKEL

Abang Johari semasa mempengerusikan mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Negeri di Serian, hari ini. | PENERANGAN

Serian maju menjelang 2030

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan merealisasikan transformasi Serian dengan mengguna pakai model pembangunan New Zealand, yang turut dilengkapi kemudahan moden termasuk Transit Aliran Autonomi (ART).

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata perancangan ke arah memajukan kawasan majoriti Bidayuh menjelang 2030 itu turut mensasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dari bahagian itu sahaja, pada kadar kira-kira RM1.4 bilion.

“Ketika ini, KDNK di Serian ialah RM600 juta, bermakna kita perlu mencapai RM800 juta lagi dan ini bermaksud, pertumbuhan mestilah kira-kira 6 hingga 8 peratus.

“Saya percaya ia boleh dicapai dengan syarat infrastrukturnya ada dan Serian boleh menjadi sebuah lagi pusat pelancongan kerana ia tidak jauh dari Kuching dan mempunyai tarikan semula jadi termasuk kebudayaan Bidayuh,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Negeri di Serian, hari ini.

Turut hadir Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat yang juga ADUN Tarat Datuk Roland Sagah Wee Inn, Ahli Parlimen Serian Datuk Seri Richard Riot Jaem, ADUN Bukit Semuja John Illus, ADUN Kedup Martin Ben dan ADUN Tebedu Dr Simon Sinang Bada.

Justeru, Abang Johari berkata sebanyak 80 projek dan empat projek bukan fizikal diluluskan bagi Bahagian Serian, dengan nilai kira-kira RM368.6 juta.

Katanya daripada 80 projek itu, 34 projek sudah dilaksanakan, 12 projek masih di bawah pelbagai peringkat pelaksanaan dan 30 projek dalam peringkat perancangan.

“Menjelang penghujung Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kita mungkin dapat melaksanakan semua projek ini,” katanya.

Selain itu, Abang Johari berkata bekalan air akan turut dinaik taraf, dengan Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM1.03 bilion untuk melaksanaka projek itu di bawah RMK-12.

“Kami merasakan sebahagian daripadanya mungkin tidak dapat disiapkan menjelang 2025 disebabkan kebolehcapaian, tetapi ia boleh dilanjutkan sehingga setahun atau dua tahun kerana banyak projek besar-besaran dilaksanakan di pelbagai kampung serta memastikan bekalan air sampai ke kawasan sasaran,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata akan menggunakan teknologi insinerator menguruskan sampah di Serian yang semakin bertambah dengan kini kira-kira 400 tan sebulan, tanpa menggunakan tapak pelupusan sampah.

“Kini terdapat satu sistem iaitu anda boleh mengasingkan sisa terbiodegradasi dan sisa tidak terbiodegradasi.

“Ini bermakna, kita menggunakan ekonomi bulat, dengan daripada sisa akan menjadi tenaga atau produk lain,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU