KUCHING: Pengesanan awal melalui pemeriksaan mamogram merupakan kunci bagi mencegah kanser payudara di peringkat awal.
Justeru, Pusat Khidmat Parti Tindakan Demokratik (DAP) Batu Kawah bekerjasama dengan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mengadakan program pemeriksaan mamogram percuma bertempat di Pusat Pakar Perubatan Normah, di sini.
Menurut Pembantu Khas kepada Chong Chieng Jen, Michael Kong Feng Nian, kepentingan menjalani ujian mamogram harus ditekankan sebagai langkah pengesanan awal bagi mengatasi kanser payudara.
“Orang ramai dijemput untuk menyertai program mamogram percuma ini untuk menggalakkan orang ramai mengutamakan kesihatan dan kesejahteraan.

“Kita berbesar hati menyatakan lebih 30 peserta mendaftar dan mengambil bahagian dalam program selama dua hari ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jelasnya, mamogram adalah pemeriksaan X-ray khusus payudara yang boleh mengesan tanda-tanda awal kanser biarpun belum ada sebarang gejala.
“Ia memainkan peranan penting dalam mendiagnosis kanser itu, sekali gus meningkatkan peluang rawatan dan pemulihan yang berjaya.
“Wanita berumur 40 tahun ke atas dinasihatkan untuk menjalani ujian mamogram secara berkala. Jika ada ahli keluarga yang mempunyai sejarah kanser payudara, sangat disyorkan menjalani ujian pada usia lebih awal,” ujarnya.
Beliau menggalakkan program pemeriksaan mamogram percuma ini disebarluaskan.
Untuk mendaftar, orang ramai boleh menghubungi talian pejabat pusat khidmat 082-571556.



