MUKAH: Pelbagai isu berkaitan kemudahan asas dan persekitaran setempat dikemukakan penduduk menerusi Dialog Pembangunan Sarawakku Sayang Dewan Undangan Negeri (DUN) Jemoreng bagi Zon Sekaan (Siri 6), hari ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya berkata, dialog itu menjadi platform penting untuk mendengar sendiri permasalahan penduduk di peringkat akar umbi.

Menurutnya, dialog berkenaan melibatkan penduduk dari Kampung Muut, Kampung Dagang, Kampung Masjid, Kampung Treng, Kampung Pasar Lama Cina dan Kampung Pasar Baru Cina.
“Pelbagai isu telah dikemukakan penduduk, antaranya berkaitan sungai yang tersumbat, kehadiran haiwan liar atau ganas serta masalah parit dan longkang yang memerlukan perhatian.
“Perkara seperti ini perlu kita ambil maklum supaya tindakan susulan dapat dikenal pasti dan dibawa kepada agensi berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Dialog Pembangunan Sarawakku Sayang DUN Jemoreng di Dewan Majlis Daerah Matu Daro (MDMD), di sini, hari ini.
Juanda yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng turut menasihatkan penduduk supaya tidak menjadikan media sosial, khususnya Facebook, sebagai medium utama untuk meluahkan ketidakpuasan hati berhubung isu di kampung.
Sebaliknya, beliau menggalakkan penduduk menyalurkan aduan secara terus kepada pemimpin masyarakat atau pihak berkaitan supaya perkara itu dapat dikenal pasti dan dibawa kepada agensi bertanggungjawab untuk tindakan susulan.
Dalam pada itu, Juanda menegaskan pembangunan berkesan memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk penduduk, pemimpin masyarakat dan agensi kerajaan supaya setiap isu yang dibangkitkan dapat diselesaikan secara tersusun.




