DARO: Kemudahan air minuman percuma ‘Seteguk Syukur’ kini menjadi inisiatif istimewa Surau Darul Ihsan bagi memastikan jemaah serta para musafir yang singgah dapat menikmati minuman percuma sebagai pelepas dahaga ketika beribadah atau berehat seketika.
Program itu diwujudkan hasil usaha Jawatankuasa Pengurusan Surau Darul Ihsan Kampung Badong yang melihat keperluan menyediakan kemudahan awam khusus untuk kariah setempat dan pengunjung yang melalui kawasan itu.
Pengerusinya, Abang Shamsure Abang Wahap, berkata inisiatif berkenaan dibiayai sepenuhnya melalui derma orang ramai yang disalurkan kembali dalam bentuk sedekah kecil untuk manfaat jemaah.
“Surau Kampung Badong sering menjadi lokasi persinggahan utama para musafir, terutama selepas siapnya pembinaan Jambatan Batang Lassa yang meningkatkan aliran pengguna melalui kawasan tersebut.
“Musafir biasanya singgah untuk menunaikan solat, berehat seketika, menukar lampin anak-anak atau menjadikan surau ini sebagai tempat transit sebelum meneruskan perjalanan,” katanya kepada Suara Sarawak.
Beliau berkata, kewujudan kemudahan air percuma itu bukan sahaja meringankan keperluan pengunjung, malah menjadi simbol keprihatinan masyarakat setempat dalam memakmurkan rumah ibadah.
Selain air minuman percuma, jemaah surau turut menyumbangkan kuih-muih hampir setiap malam, bukan hanya terhad kepada malam Jumaat seperti kebiasaan sesetengah tempat.
Keadaan itu menjadikan suasana surau lebih hidup dan sentiasa menerima kunjungan jemaah yang berasa dihargai dengan kepelbagaian sumbangan kecil daripada masyarakat.
“Kita juga mengalu-alukan sumbangan orang ramai, khususnya bagi menambah stok air minuman yang ditempatkan di sudut khas untuk kemudahan.
“Mereka boleh menyampaikan sumbangan ke akaun Agrobank Surau Darul Ihsan 2006842000003096,” tambahnya.



