BINTULU: Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Angellie Stephen Raja hari ini melakukan tinjauan di dua lokasi dikenal pasti berisiko banjir, iaitu Gem Park dan Taman Jason susulan kebimbangan penduduk terhadap kemungkinan kejadian banjir berulang.
Tinjauan itu turut disertai kakitangan Pusat Khidmat DUN Tanjong Batu, serta pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bintulu bagi menilai keadaan paras air dan sistem perparitan di kawasan berkenaan.

Menurut Angellie, hasil tinjauan mendapati paras air di kedua-dua kawasan tersebut kini beransur surut susulan penurunan limpahan air dari sungai berhampiran.
Bagaimanapun, beliau menegaskan keadaan itu tidak boleh dipandang ringan kerana musim Monsun Timur Laut masih belum berakhir.

“Walaupun situasi ketika ini terkawal, langkah berjaga-jaga perlu diambil. Tindakan segera mesti dilaksanakan, khususnya menaik taraf sistem perparitan sedia ada bagi memastikan aliran air lebih lancar dan berkesan,” katanya ketika ditemui selepas tinjauan di Gem Park.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan kejadian banjir berulang seperti pernah berlaku tahun lalu, sekali gus melindungi keselamatan dan kesejahteraan penduduk setempat.
Tambahnya, JPS Bintulu akan meneliti dapatan serta cadangan hasil tinjauan sebelum melaksanakan tindakan susulan yang bersesuaian.
“Selepas tinjauan bersama JPS, kami mendapati terdapat beberapa tindakan susulan kritikal perlu dilaksanakan segera dan ini melibatkan pelbagai agensi berkaitan,” jelasnya.
Sehubungan itu, mesyuarat penyelarasan melibatkan semua agensi berkepentingan akan dipanggil dalam masa terdekat bagi memastikan langkah mitigasi dilaksanakan dengan pantas dan berkesan.


