Setitik darah selamatkan seribu nyawa

MIRI: Orang awam tidak perlu takut atau khuatir untuk menderma darah sebaliknya dipelawa menyumbang darah bagi menambah bekalan darah Tabung Darah Hospital Miri.

Tabung Darah Hospital Miri dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa orang awam tidak perlu risau akan keselamatan dan kesihatan mereka semasa menderma darah ketika penularan Covid-19.

“Tabung Darah Hospital Miri mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) mengikut piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) demi memastikan keselamatan dan kesihatan kakitangan dan para penderma darah sentiasa terpelihara,” menurut kenyataan itu.

Tabung Darah Hospital Miri terletak di bangunan yang berjauhan dengan wad/tempat kuarantin pesakit Covid-19 dan tempat meletak kereta khas untuk penderma turut disediakan. Tabung Darah Hospital Miri beroperasi setiap Isnin hingga Khamis untuk sesi pagi (8.00 pagi hingga 12.15 tengah hari) dan sesi petang (2.00 petang hingga 4.15 petang).

Pada Jumaat, sesi pagi bermula jam 8.00 pagi hingga 11.15 pagi atau sesi petang (2.15 petang hingga 4.15 petang) manakala tidak beroperasi pada Sabtu, Ahad dan cuti umum.

Orang awam tidak perlu membuat janji temu untuk datang menderma darah kerana pihak Tabung Bank Hospital Miri sentiasa mengalu-alukan kedatangan mereka.

Sila ‘Like’ Facebook Page Tabung Darah Hospital Miri untuk mengetahui Jadual Program Derma Darah Bergerak (Mobile) pada hujung minggu.

Suara Sarawak