ARTIKEL

Ahli Jawatankuasa SFIA merakamkan gambar kenangan bersama-sama pelajar dan guru di SMK Jalan Arang.

SFIA pupuk minat pelajar SMK Jalan Arang ceburi industri perabot Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pembabitan seramai 10 pelajar SMK Jalan Arang yang menyertai Program Kursus Pendek dan Pengenalan Asas Pertukangan Kayu: Pemasangan Bahagian II menjadi usaha awal untuk memupuk minat terhadap industri perabot di Sarawak.

Program anjuran Biro Pendidikan dan Ekonomi Digital Persatuan Industri Perabot Sarawak (SFIA) itu berlangsung di sekolah berkenaan pada 13 Jun lepas selama tiga jam dengan penglibatan tujuh guru.

Presidennya, Leo Chiang berkongsi pengetahuan mengenai kerja menggosok menggunakan kertas pasir dan kemasan akhir salutan, manakala Timbalan Presiden II, Lai Chin Choi mengajar teori pertukangan kayu serta pengenalan komponen perkakasan.

Leo berkata, SFIA akan terus menambah baik program berkenaan pada masa hadapan, termasuk melibatkan lebih ramai tenaga pengajar daripada persatuan itu.

“Kami akan memperhalusi lagi program ini pada masa akan datang dan melibatkan lebih ramai pengajar daripada SFIA,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, pelajar dan guru memberikan maklum balas yang sangat positif serta teruja terhadap program tersebut, selain berharap lebih banyak program seumpama itu dapat diadakan pada masa hadapan.

“Kami turut merakamkan penghargaan kepada semua individu dan pihak yang menyumbang kepada kejayaan program ini,” jelasnya.

Sementara itu, ketika ditanya pihak media mengenai perancangan masa depan pada akhir program, Lai berkata, SFIA akan berusaha menjalinkan kerjasama dengan Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dalam pelbagai aspek yang bersesuaian.

Pada majlis sama, sijil penyertaan turut disampaikan kepada pelajar dan guru yang terlibat.

SFIA turut menyumbangkan lima unit bangku yang dipasang oleh pelajar terbabit kepada SMK Jalan Arang.

Dana bagi program itu disumbangkan oleh Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen.

Hadir sama ialah Penolong Kanan Kokurikulum SMK Jalan Arang, Liu Shan Boon dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Mohammad Jasni Hipni.

Dalam pada itu, SFIA merupakan persatuan perabot terbesar di Sarawak dengan keahlian kukuh melebihi 300 ahli dan terus berkembang pesat.

SFIA diiktiraf oleh Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC) dan merupakan wakil tunggal Sarawak dalam Majlis Perabot Malaysia.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU