KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dijatuhi hukuman penjara lima minggu oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah menghina mahkamah berhubung kenyataannya berkaitan kes Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Hakim Amir Shah Amir Hassan memutuskan Peguam Negara berjaya membuktikan permohonan menghina mahkamah terhadap Presiden Parti Warisan itu melampaui keraguan munasabah. Mahkamah bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.
Mahkamah turut mengambil kira hujahan mitigasi daripada pihak pembelaan dan pendakwaan sebelum mensabitkan Mohd Shafie atas kesalahan berkenaan mengikut Seksyen 99A dan Perenggan 26, Jadual Ketiga Akta Mahkamah Rendah 1948.
Mohd Shafie diwakili peguam Jakariya AB Jalil dan Chen Ket Chuin, manakala pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam dan Nadia Mohd Izhar.
Prosiding menghina mahkamah itu susulan notis tunjuk sebab yang dikeluarkan Mahkamah Koroner pada 22 September tahun lepas berkaitan kenyataan yang didakwa mengganggu perjalanan inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, yang meninggal dunia pada 17 Julai tahun lepas seperti dilapor Bernama.



