ARTIKEL

Shahrizan bersama dengan piala yang dimenanginya pada pertandingan dandanan kucing antarabangsa.

Shahrizan juara dunia dandanan kucing

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pendandan kucing dari Kuching, Shahrizan Mohamad, sekali lagi mengharumkan nama negeri dan negara apabila merangkul gelaran juara kategori Dandanan Kucing Terbaik (All Breed) dalam pertandingan dandanan kucing antarabangsa yang berlangsung di Bangkok, Thailand, 2 Oktober lalu.

Kejayaan itu dicapai selepas Shahrizan, 32, bersaing dengan kira-kira 50 pendandan kucing dari pelbagai negara dalam pertandingan yang menghimpunkan sekitar 80 ekor kucing daripada pelbagai baka.

Dalam pertandingan berkenaan, peserta dinilai bukan sahaja berdasarkan kekemasan bulu, tetapi turut meliputi teknik dandanan, kemasan akhir, struktur serta kesesuaian dandanan mengikut ciri dan standard setiap baka.

Baka kucing jenis bengal yang didandan Shahrizan membolehkan belia bergelar juara dunia untuk dandanan kucing terbaik.

Shahrizan berkata, kejayaan itu bukan sekadar kemenangan peribadi, sebaliknya menjadi pengalaman bermakna kerana beliau berpeluang membawa nama Sarawak dan Malaysia ke pentas antarabangsa.

“Setiap kali saya berada di pentas antarabangsa, saya membawa nama Sarawak dan Malaysia bersama-sama saya.

“Saya sangat bersyukur kerana segala usaha dan pengalaman selama ini akhirnya membuahkan hasil,” kongsinya kepada Suara Sarawak.

Sesi fotografi bersama-sama pemenang (dari kiri Shahrizan, Suezy dan Nurhidayah).

Dalam pertandingan sama, pasukan dandanan kucing Malaysia yang diketuai Suezy Natasha bersama-sama Nurhidayah dan Shahrizan turut mencatat kejayaan apabila muncul naib juara kategori Dandanan Kucing Berpasukan.

Lebih membanggakan, ketiga-tiga anggota pasukan Malaysia itu turut disenaraikan dalam kelompok 15 pendandan terbaik dalam pertandingan berkenaan.

Shahrizan berkata, pencapaian itu menjadi motivasi untuk beliau terus belajar, memperbaiki teknik dan meningkatkan standard dandanan pada masa akan datang.

Katanya, bidang dandanan kucing memerlukan pengetahuan jenis dan tekstur bulu, struktur badan, keadaan kulit serta karakter kucing, selain kemahiran mengendalikan haiwan berkenaan dengan betul.

Beliau berkata, setiap baka mempunyai ciri dan keperluan dandanan berbeza, justeru seorang pendandan perlu memahami aspek kemasan tanpa mengabaikan keselesaan serta keselamatan kucing.

Menurutnya, kemahiran dalam bidang itu dikembangkan menerusi pengalaman, penyertaan dalam pertandingan dan pertunjukan kucing serta pembelajaran daripada pendandan yang lebih berpengalaman.

Pencapaian berkenaan turut memperlihatkan kemampuan pendandan kucing dari Sarawak untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU