SIBU: Keperluan mendesak untuk sistem pembetungan pusat di Sibu kini menjadi perhatian, apabila pelepasan kumbahan terus mencemari Sungai Rajang dan Sungai Igan, sekali gus memberi ancaman kepada kesihatan awam dan kelestarian alam sekitar.
Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Kaunselor Clarence Ting Ing Horh berkata, sudah tiba masanya Sibu diberi perhatian setaraf dengan bandar-bandar utama lain di Sarawak seperti Kuching, yang sedang membangunkan sistem pembetungan berpusat moden.

“Tanpa sistem pembetungan berpusat, semua pelepasan kumbahan dari bandar ini disalurkan terus ke Sungai Rajang. Ini ancaman besar, bukan sahaja kepada kesihatan penduduk, tetapi juga kepada ekosistem sungai yang semakin terjejas,” katanya ditemui media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Ahli MPS di sini, semalam.
Beliau menekankan bahawa sistem pembetungan berpusat bukan lagi satu pilihan, tetapi keperluan asas untuk memastikan sungai, yang kini semakin digunakan untuk aktiviti rekreasi, kekal bersih dan selamat.
“Dengan adanya sistem ini, kita boleh memastikan air kumbahan dirawat terlebih dahulu sebelum dilepaskan ke sungai. Ini langkah penting untuk melindungi warisan sungai kita, yang menjadi nadi kehidupan masyarakat,” tambah beliau.
Ting turut mencadangkan pembangunan sistem pembetungan berpusat di Sibu dimulakan secepat mungkin, dengan pembiayaan dan sokongan teknikal daripada kerajaan negeri.
“Jika Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Selatan sudah memulakan projek ini, mengapa tidak Sibu? Kita juga berhak menikmati infrastruktur yang setaraf bagi memastikan kebersihan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya lagi.
Dengan sungai sebagai sumber utama dan khazanah alam, langkah drastik diperlukan untuk memastikan masa depan yang lebih sihat dan lestari bagi Sibu dan generasi akan datang.
Timbalan Pengerusi MPS, Kaunselor Mohammed Abdullah Izkandar Roseley dan Setiausaha MPS Yong Ing Chu turut hadir.


