ARTIKEL

Silap percaturan punca Sarawak 2019 gagal

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KESILAPAN percaturan pihak pengurusan dilihat sebagai antara punca kegagalan pasukan bola sepak Sarawak 2019 yang bukan sahaja berada di tangga tercorot Liga Premier, tetapi juga terjerumus ke Liga M3 2020.

Ia merupakan pencapaian terburuk Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dalam tempoh 31 tahun.

Sejak era kebangkitan Ngap Sayot pada 1988, skuad utama Sarawak tidak pernah tercicir ke liga bawahan. Walaupun mengalami prestasi tidak menentu selepas era juara 1992, 1997, 1998 dan sebelum musim 2013 dan selepasnya.

Mengimbas semula kegagalan musim 2019, ia kelihatan bermula dengan kesilapan pemilihan pemain, apabila FAS memberanikan diri dengan mempertaruhkan hampir seratus peratus pemain muda tempatan, tanpa mengambil pemain dari Semenanjung Malaysia, kecuali pemain senior dari Sabah, Bobby Gonzales, 35.

Lebih memburukkan keadaan apabila pemain import, Muamer Salibasic, wira Sarawak 2013 yang diambil semula gagal menyerlah walaupun dikatakan sembuh daripada krisis kecederaan.

Malah, import lain seperti Pedro Dias dan Hudson Dias juga gagal memberikan impak. Manakala pemain handalan tempatan seperti Nur Shamie Iszuan Amin, Muhammad Adam Shreen Tambi belum cukup untuk memberikan kekuatan tambahan.

Kehadiran semula Bobby Gonzales juga tidak memberikan banyak sumbangan, lantaran kekurangan keseimbangan dari pelbagai posisi, kerana kebanyakan pemain berstatus junior yang berusia antara 19 hingga 21 tahun.

Malah pertukaran jurulatih pada awal musim juga dilihat mempengaruhi prestasi pasukan apabila FAS merehatkan jurulatih utama, Farhan Abdullah dan pembantunya, David Usop.

Tempat Fahran digantikan oleh Mohamad Denny Da’ail.

Agak malang buat Denny apabila hanya dilantik sebagai jurulatih sementara sehingga tamat musim.

Ia tentunya memberi kesan yang kurang baik dari segi motivasi.

Sepatutnya FAS memberi jawatan tetap kepada Denny sebagai ketua jurulatih, bukannya hanya jurulatih sementara. Ataupun FAS mencari pengganti lain sebelum musim berakhir.

Menurut ketua jurulatih Sarawak, Farhan Abdullah ketika awal musim pasukan 2019 lebih kepada pembentukan semula pasukan.

“Sebenarnya saya tidak berani buat sasaran yang tinggi kerana pasukan ini terlalu muda dan serba baharu. Ramai pemain muda yang berusia dalam lingkungan 19, 20 dan 21 tahun. Yang senior ialah Bobby Gonzales, Muamer Salibasic, Benedict Martin dan Shamie,” jelasnya.

Manakala jurulatih sementara, Mohamad Denny Da’ail yang mengambil alih tempat Farhan menjelaskan: “Banyak kerja perlu dilakukan untuk membentuk pasukan ini… maklumlah majoritinya adalah pemain muda yang kurang pengalaman.”

Sementara Bobby Gonzales pula membuat kesimpulan bahawa, pasukan utama sepatutnya dibarisi pemain yang mampu memberi sumbangan kepada pasukan.

“Pasukan utama hendaklah disertai pemain yang benar-benar boleh membantu, kerana pasukan utama bukannya untuk eksperimen,” tegas Bobby.

Kata-kata Bobby memang ada kebenarannya, kerana kebanyakan pasukan utama yang beraksi dalam Liga Malaysia, sama ada dalam Liga Premier atau Liga Super dibarisi sekumpulan pemain terbaik yang mampu memikul tanggungjawab.

Bagaimanapun, kegagalan tahun ini harus dijadikan pengajaran dan peringatan penting untuk FAS merangka semula pelan tindakan dan perancangan.

Pembentukan pasukan Sarawak United melalui pembelian lesen daripada kelab Selangor United dilihat sebagai langkah berani dan drastik FAS.

Dalam aspek profesionalisme, ia harus dilihat dari sudut yang positif, kerana memberi peluang kepada pasukan Sarawak untuk terus kekal bersaing dalam Liga Premier walaupun bertukar nama.

Malah, ia juga menjadi detik bersejarah kerana dua pasukan dari Bumi Kenyalang, Sarawak United dan Kuching FA bersaing dalam liga yang sama, sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah bola sepak Sarawak sejak menyertai Liga Malaysia pada 1979.

Bagaimananpun, FAS tentunya sedar akan tanggungjawabnya terhadap pasukan Sarawak FA yang akan bermain dalam Liga M3.

Dalam konteks sejarah dan harga diri, Sarawak FA tetap sebagai pasukan penting yang sewajarnya ‘dikeluarkan’ secepat mungkin dari Liga M3. Kalau boleh, Sarawak FA kembali ke Liga Premier 2021 atau selewat-lewatnya 2022.

BERITA LAIN

GP Malaysia 2026: Hakim Danish Raih Petak Ketiga

SEPANG: Pelumba Moto3 negara Muhammad Hakim Danish Ramli meletakkan dirinya dalam kedudukan terbaik untuk memburu podium Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia 2026 selepas meraih petak

BERITA TERBARU

DENGARLAH

Dengarlah, Bukalah mata Dengarlah rintihan alam yang terluka Usahlah api menjadi keKasih yang membinasakan Usahlah kerakusan menjadi duri yang menikam masa depan Andai alam mampu

DI BALIK WAJAH KEMANUSIAAN

Di bumi yang kian hilang cahaya Manusia tenggelam dalam lautan kerakusan Demi takhta, harta dan kuasa Tergadai maruah, terpadam rasa Tangisan insan menjadi irama dunia