
ABANG MEDIAN BIN ABANG SAID
BARAM, MIRI.
6 OKTOBER 2023.
Silau kemarau mengelupas panas
tanah merekah lembah kering terpokah
dedaun kekuningan bergulungan layu
tupai berdecit berlompatan mencari buah
angkut-angkut membuat sarang
di tiang rumah.
Terasa lama, merindui kenangan hujan
yang mengalirkan banjir
menumpuk lumpur
tika manusia kehilangan syukur
memaki tengkujuh
mendengar muzik petaka
penoreh getah diselubungi awan kelabu
nelayan hanya mampu membaiki bubu.
Kini, silau kemarau pula yang bersalah
tatkala tanaman layu tak menjadi
hasil segantang menjadi secupak
harga beras kian mencanak
propaganda sengaja dimarak.



