KUCHING: Tiga wanita mengalami kecederaan ringan selepas sebahagian siling runtuh di dalam sebuah pusat beli-belah di sini, malam tadi.


Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, kejadian itu dilaporkan berlaku pada 9.47 malam, selepas Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan menerima maklumat daripada pihak pengurusan premis berkenaan.
“Insiden tersebut melibatkan runtuhan siling di dalam premis pusat beli-belah itu, menyebabkan tiga mangsa mengalami kecederaan ringan.
“Mangsa terdiri daripada seorang pekerja dan dua pelanggan, kesemuanya wanita,” menurut laporan berkenaan.
Bagaimanapun, kesemua mangsa dibawa oleh pihak pengurusan pusat beli-belah ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan sebelum ketibaan pasukan bomba.
Pihak bomba memaklumkan tiada tindakan operasi lanjut diperlukan memandangkan situasi berada dalam keadaan terkawal dan tiada risiko tambahan dikenal pasti di lokasi kejadian.



