KUCHING: Sarawak berada di landasan tepat untuk muncul sebagai hab sukan berbasikal bertaraf dunia susulan pengiktirafan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) ke atas penganjuran Siol International Mountain Bike Challenge (SIMBC) 2026.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kejohanan edisi ke-11 itu mencatat sejarah tersendiri apabila secara rasmi disenaraikan dalam Siri Benua Asia UCI.
“Pengiktirafan tersebut meletakkan SIMBC setaraf kejohanan antarabangsa utama dunia dalam sukan berbasikal. Ini umpama kejohanan piala dunia dalam arena bola sepak dan kita sudah berada di peringkat dunia.
“Kuching juga dipilih sebagai lokasi terakhir siri berprestij ini oleh UCI sekali gus membuktikan Sarawak diyakini sebagai tuan rumah acara sukan bertaraf antarabangsa,” katanya pada sidang media SIMBC 2026, hari ini.
Menurutnya, kejohanan yang akan berlangsung dari 21 hingga 23 Ogos depan di Trek Basikal Bukit Siol, di sini, dijangka menghimpunkan sekitar 250 pelumba dari dalam dan luar negara termasuk Indonesia, Filipina, Brunei dan Singapura.
“Penyertaan yang memberangsangkan ini mencerminkan peningkatan daya tarikan SIMBC di peringkat serantau dan antarabangsa yang kekal menjadi satu-satunya dalam Siri Benua Asia UCI mempertandingkan kategori menuruni bukit.
“Dalam masa yang sama, membuktikan kemampuan Sarawak dan Malaysia menganjurkan acara sukan antarabangsa mengikut standard dunia.
“Ia menjadi platform pembangunan sukan berbasikal yang memberi pendedahan antarabangsa, mata ranking, peluang meningkatkan prestasi atlet serta melahirkan bakat muda,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan berkata, kejohanan tersebut turut mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai destinasi pelancongan sukan utama di rantau ini.
“Selain impak sukan, kejohanan bertaraf antarabangsa seperti ini turut membawa limpahan ekonomi kepada sektor hospitaliti, pengangkutan dan perusahaan kecil tempatan melalui kehadiran atlet serta pelawat antarabangsa.
“Pada masa yang sama menjadi platform mempromosikan keindahan alam semula jadi dan potensi ekopelancongan Sarawak kepada dunia.
“Sarawak turut menyasarkan untuk menjadi tuan rumah siri dunia berbasikal pada masa hadapan,” ujarnya.
SIMBC 2026 merupakan satu daripada hanya lima kejohanan yang diiktiraf UCI dalam Siri Benua Asia dan akan menjadi penentu penting ranking serantau serta kelayakan ke peringkat piala dunia 2027.
Kejohanan kali ini akan mempertandingkan kategori Cross-country Olympic (XCO), Short Track (XCC), Eliminator (XCE), Downhill (DHI) dan Cross-country Relay bagi merebut Trofi Datuk Bandar melibatkan kategori elit, bawah 23 tahun dan junior lelaki serta wanita.
Turut diperkenalkan ialah kategori baharu Cross-country Olympic Belia dan Malaysia Closed Cross-country Eliminator (XCE) dalam usaha memperkukuh pembangunan akar umbi serta penyertaan belia.

