KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini, kerana menyimpan harta curi berupa dua helai baju milik dua orang mangsa, 5 Januari lalu.
Allenick , 23, dari Stampin itu mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Abdurrahman Abrar Jarni.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, dia didakwa memiliki harta curi dua helai baju milik kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dan mangsa wanita berusia 23 tahun.
Dia didakwa memiliki harta curi itu di tempat letak kenderaan, Balai Polis Kota Sentosa, sekitar jam 12.21 petang, 5 Januari lalu.
Kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 12 bulan bagi setiap pertuduhan terhadap tertuduh, selain memerintahkan hukuman berjalan secara serentak.
Menurut fakta kes, pada 28 Disember 2025, sekitar jam 12.45 tengah hari, ketika pengadu lelaki sampai rumahnya di Taman Sentosa mendapati pintu rumahnya terbuka dan barang-barang berselerak.
Pengadu melihat pagar pintu belakang dirosakkan dan cermin tingkap telah dibuka.
Hasil pemeriksaannya mendapati, dua helai baju anaknya, dua buah telefon pintar dan duit syiling berjumlah RM30 telah hilang.
Kerugian yang dialami sekitar RM1,000.
Laporan polis dibuat seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh pada 5 Januari lalu.
Hasil siasatan mendapati bahawa tertuduh telah menyimpan dua harta curi sehelai baju jenama Nike dan sehelai baju kanak-kanak yang bergambar anime ‘Jujutsu Kaisen’ milik anak-anak pengadu.
Pengadu dan anak-anaknya mengecam dan barang tersebut adalah milik mereka.
Difahamkan tertuduh memiliki pelbagai rekod jenayah lampau berkaitan kes curi dan pecah masuk rumah.


