ARTIKEL

Sindiket dadah guna katrij vape tumpas di Kuching

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Aktiviti pengedaran dadah menggunakan katrij vape yang dipercayai dibawa masuk dari Semenanjung Malaysia berjaya ditumpaskan polis dalam satu operasi di sekitar Jalan Setia Raja, di sini, baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, operasi pada 19 April itu dijalankan dengan kerjasama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) hasil maklumat risikan.

“Dalam serbuan tersebut, polis menahan dua lelaki tempatan berusia 28 dan 38 tahun yang dipercayai berperanan sebagai penghantar dan pembawa dadah dalam rangkaian sindiket berkenaan.

RAMPAS… Seorang anggota polis wanita menunjukkan rampasan dadah menggunakan katrij vape sambil disaksikan oleh Mohamad Zainal pada sidang media kejayaan tangkapan dadah di IPK Sarawak, semalam. | Foto: RAMIDI SUBARI

“Pemeriksaan lanjut menemukan 1,281 katrij vape disyaki mengandungi cecair ganja dengan anggaran berat keseluruhan 3,202.50 gram.

“Kesemua rampasan itu dianggarkan bernilai kira-kira RM576,450,” katanya pada sidang media kejayaan tangkapan dadah di IPK Sarawak, hari ini.

Tambah Mohamad Zainal, siasatan mendapati sindiket beroperasi sejak November 2025 dengan modus operandi yang menggunakan bekalan dari Semenanjung Malaysia sebelum dihantar ke Sarawak melalui perkhidmatan kurier.

Katanya, dadah tersebut kemudian diambil oleh suspek untuk diedarkan di pasaran tempatan.

“Kedua-dua suspek dipercayai menerima bayaran sekitar RM8,000 bagi setiap penghantaran yang dilakukan, menjadikan mereka sebahagian penting dalam rangkaian pengedaran tersebut.

“Semakan rekod mendapati kedua-duanya tidak mempunyai rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan air kencing turut menunjukkan keputusan negatif dadah,” jelasnya.

Dalam operasi yang sama kata Mohamad Zainal, polis turut menyita sebuah kenderaan bernilai kira-kira RM12,000 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

Suspek pertama katanya, direman selama tujuh hari bermula 21 hingga 27 April 2026, manakala suspek kedua direman selama empat hari bermula 21 hingga 24 April 2026.

“Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika sabit kesalahan.

“Bagi tempoh 1 Januari hingga 19 April 2026, sebanyak 5,151 tangkapan direkodkan, meningkat 38.2 peratus berbanding 3,728 tangkapan dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

“Nilai rampasan dadah dan racun melonjak kepada RM31.9 juta berbanding RM3.1 juta pada 2025, iaitu peningkatan sebanyak RM28.8 juta atau 913.7 peratus,” ujar beliau.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU