MIRI: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang menggunakan kaedah penghantaran tanpa bersemuka dengan penahanan seorang lelaki tempatan serta rampasan 55 kilogram dadah disyaki methamphetamine bernilai RM2.75 juta dalam dua serbuan pada 8 Julai lalu.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, serbuan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri di sebuah rumah di Jalan Cahaya Miri Bypass membawa kepada penahanan suspek berusia 27 tahun dan mrampas 30kg dadah.
“Hasil soal siasat, suspek membawa polis ke sebuah lagi rumah di Jalan Acacia sebelum pemeriksaan menemukan tambahan 25kg dadah disyaki methamphetamine, menjadikan keseluruhan rampasan sebanyak 55kg,” katanya pada sidang media, hari ini.
Beliau berkata, polis turut menyita sebuah Proton Iswara yang dipercayai digunakan untuk kegiatan pengedaran dadah.
Menurutnya, siasatan mendapati suspek mula aktif sebagai ‘runner’ sindiket sejak Jun lalu dengan menerima arahan melalui aplikasi Telegram.
“Suspek mengambil kenderaan yang telah diisi dadah sebelum menghantarnya ke lokasi ditetapkan tanpa berhubung secara langsung dengan penerima.
“Dia menerima upah RM7,000 dan dijanjikan RM15,000 bagi setiap penghantaran,” katanya.
Mohamad Zainal berkata, suspek mempunyai satu rekod kesalahan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan satu rekod kesalahan dadah mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952. Ujian saringan air kencing turut mendapati suspek positif methamphetamine.
Beliau berkata, suspek direman sehingga 20 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, JSJN Sarawak merekodkan 8,460 tangkapan dari 1 Januari hingga 12 Julai tahun ini, meningkat 32.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Nilai rampasan dadah dan racun turut meningkat kepada RM64 juta berbanding RM11 juta tahun lalu, sekali gus membuktikan keberkesanan strategi ‘Tiada Hari Tanpa Tangkapan’ dalam membanteras jenayah dadah di Sarawak.









