PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 21 individu yang dipercayai terbabit dalam sindiket penipuan dalam talian termasuk love scam dan penjualan barangan palsu dalam operasi di KLIA Terminal 1 dan Nilai, Rabu lalu.
Menurut Bernama, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata sindiket itu dipercayai beroperasi sejak awal tahun dengan menggunakan sebuah kediaman di Taman Desa Melati, Nilai sebagai pusat operasi serta mampu meraih keuntungan sehingga USD50,000.
Operasi bermula dengan penahanan seorang lelaki tempatan dan dua warga China di KLIA. Siasatan mendapati sindiket membantu warga China yang disenarai hitam JIM memasuki Malaysia menggunakan pasport berbeza yang tidak disenarai hitam.
Hasil siasatan membawa kepada penahanan empat individu yang dipercayai dalang utama serta ahli sindiket lain terdiri daripada warga China, Vanuatu, Pakistan, India dan Myanmar. Kesemua warga asing berusia 23 hingga 33 tahun dan memasuki Malaysia menggunakan Pas Lawatan Sosial.
JIM turut menyita 32 pasport China, pasport Myanmar, India, Vanuatu dan Rusia, 11 komputer meja, sebuah komputer riba, 44 telefon bimbit, sebuah Proton X70 serta RM4,800 wang tunai. Sindiket dipercayai menggunakan Telegram dan WhatsApp untuk menipu mangsa luar negara dengan skrip tertentu serta komisen berdasarkan jumlah mangsa yang diperdaya.



