MIRI: Taktik licik sindiket menjadikan kontena sebagai tempat simpanan rokok dan minuman keras tidak berkastam akhirnya terbongkar, apabila Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyerbu sebuah kawasan perindustrian di sini, 16 Mac lalu.
Dalam operasi kira-kira jam 8.30 pagi itu, pasukan dari Unit Operasi Darat, Cawangan Penguatkuasaan JKDM Miri menyerbu sebuah kontena 20 kaki di kawasan Eastwood Valley Industrial Estate, hasil maklumat risikan yang diterima.


Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Norizan Yahya berkata, hasil pemeriksaan ke atas kontena yang berkunci itu menemukan sebanyak 700,000 batang rokok putih pelbagai jenama tanpa setem cukai serta 1,536 liter minuman keras yang dipercayai tidak berkastam.
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM566,691.20, merangkumi nilai barang sitaan iaitu RM74,372 dan jumlah duti serta cukai terlibat sebanyak RM492,319.20,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, Norizan turut menggesa orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu membanteras jenayah penyeludupan yang boleh menyebabkan ketirisan hasil negara dan menggugat keselamatan awam.
“Pihak JKDM menjamin bahawa identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan dan sebarang maklumat boleh disalurkan melalui Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau menghubungi pejabat Kastam yang terdekat,” ujarnya.
Beliau turut menasihatkan masyarakat agar tidak terbabit dalam kegiatan penyeludupan, termasuk rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan, kerana ia bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah membahayakan keselamatan negara.


