BINTULU: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) digesa melaksanakan pemeriksaan teknikal secara menyeluruh di kawasan berisiko banjir bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian banjir kilat yang melanda beberapa kawasan perumahan di bandar ini pada malam Jumaat.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming, berkata pemeriksaan itu penting bagi memastikan setiap kelemahan sistem perparitan dikenal pasti dan tindakan penambahbaikan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.

Beliau berkata, beberapa penduduk yang terjejas dek banjir menemuinya ketika beliau menghadiri Program Jangkauan Setiausaha Politik: Majlis Taklimat dan Penerangan Inisiatif dan Strategi PCDS 2030 Kerajaan Sarawak N68 Tanjong Batu pada Sabtu bagi menyampaikan sendiri aduan serta kebimbangan mereka kepada beliau dan wakil JPS.
Menurutnya, beliau turut menerima banyak panggilan telefon dan mesej daripada penduduk yang melaporkan kejadian banjir di kediaman serta kawasan kejiranan masing-masing sejak malam Jumaat.
Katanya, pemeriksaan tidak seharusnya tertumpu kepada kawasan yang dinaiki air semata-mata, sebaliknya perlu meliputi keseluruhan rangkaian sistem perparitan termasuk saluran keluar air serta hubungan antara kawasan hulu dan hilir.
“Antara aspek yang perlu diteliti termasuk aras tanah, kemungkinan saluran tersumbat, pengumpulan mendapan, kecerunan parit yang tidak mencukupi, kapasiti sistem perparitan serta kelemahan hubungan antara rangkaian saliran.
“Penilaian menyeluruh perlu dilakukan bagi mengenal pasti faktor sebenar yang menyebabkan air tidak dapat mengalir keluar dengan lancar,” katanya.
Beliau turut menekankan keperluan menilai kesan fenomena air pasang besar terhadap saluran keluar sistem perparitan, khususnya di kawasan tanah rendah dan berhampiran pesisir pantai yang berisiko mengalami aliran keluar air terhad.
Selain itu, beliau berkata projek naik taraf dan pembinaan sistem perparitan yang baru disiapkan juga perlu dinilai semula bagi memastikan pelaksanaannya benar-benar mencapai objektif serta memberikan kesan positif kepada kawasan terlibat.
Beliau mengakui masalah banjir berulang di Bintulu bukan isu yang boleh diselesaikan dalam tempoh singkat, kerana terdapat beberapa projek naik taraf sistem perparitan dan mitigasi banjir yang sudah disiapkan, sedang dilaksanakan atau masih menunggu pelaksanaan.
Bagaimanapun, katanya, usaha yang lebih berterusan perlu dilakukan bagi memastikan masalah yang dihadapi penduduk tidak terus berulang, terutama membabitkan mereka yang terpaksa berdepan risiko banjir setiap kali hujan lebat.
“Air banjir yang sudah surut tidak bermakna masalah itu telah selesai. Punca kejadian perlu dikenal pasti dan langkah penyelesaian jangka panjang mesti diberikan perhatian,” katanya.
Johnny Pang berkata, beliau akan terus membawa perkara itu kepada agensi berkaitan, mendapatkan penjelasan mengenai kelemahan yang dikenal pasti serta membuat susulan terhadap keperluan kerja penambahbaikan demi meningkatkan perlindungan kepada komuniti yang terjejas.
“Kita tidak akan mengelak daripada menangani isu ini. Masalah yang dibangkitkan penduduk perlu diberikan perhatian dan kerja-kerja penambahbaikan yang diperlukan mesti terus diperjuangkan,” ujarnya.




