ARTIKEL

Iskandar menyaksikan majlis ringkas penyerahan projek naik taraf sistem perparitan di Kampung Kemunting di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Jepak bagi tahun 2026.

Sistem perparitan Kampung Kemunting dinaik taraf

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Masalah banjir yang sekian lama membelenggu penduduk Kampung Kemunting dijangka dapat dikurangkan menerusi pelaksanaan projek naik taraf sistem perparitan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Jepak yang melibatkan kos kira-kira RM100,000.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata projek pembinaan parit sepanjang 90 meter itu akan dilaksanakan bagi memperbaiki sistem saliran di kawasan berkenaan yang sering terjejas akibat banjir ketika hujan lebat dan fenomena air pasang.

Menurut beliau, projek tersebut diluluskan hasil permohonan yang dikemukakan oleh penduduk serta Ketua Kaum Kampung Kemunting selepas beberapa perbincangan diadakan bersama pihak berkaitan, termasuk berhubung urusan pengambilan tanah.

“Penduduk telah lama berdepan masalah banjir dan projek ini merupakan antara usaha yang diambil bagi membantu mengurangkan risiko kejadian tersebut daripada terus berulang,” katanya ketika ditemui semasa lawatan projek di kawasan berkenaan pada Isnin petang.

Jelas beliau, reka bentuk parit yang bakal dibina mengambil kira keadaan geografi setempat dengan menggunakan konsep bertingkat dari arah muara sungai bagi memperlahankan aliran air sebelum memasuki kawasan penempatan penduduk.

Beliau yakin pendekatan tersebut mampu meningkatkan kecekapan sistem saliran sedia ada serta mengurangkan limpahan air ke kawasan perumahan ketika hujan berintensiti tinggi.

Dalam pada itu, Iskandar berkata pelaksanaan projek RTP membolehkan isu infrastruktur asas yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat ditangani dengan lebih cepat dan berkesan.

Beliau berharap projek naik taraf sistem perparitan itu bukan sahaja dapat mengurangkan kejadian banjir, malah meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan penduduk Kampung Kemunting dalam jangka panjang.

“Ini merupakan antara komitmen kerajaan untuk memastikan keperluan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar, terus diberi perhatian melalui penyediaan infrastruktur yang lebih baik,” ujarnya.

Iskandar meninjau sistem perparitan di Kampung Kemunting yang akan dinaik taraf di bawah RTP DUN Jepak.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU