BINTULU: Penularan gejala influenza di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bintulu kini dalam keadaan terkawal dan hanya sembilan pelajar masih bergejala, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat daripada pihak pengurusan MRSM Bintulu, seramai 51 pelajar sebelum ini dikesan mengalami simptom influenza, namun kebanyakannya telah pulih dan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

“Saya dimaklumkan bahawa pihak sekolah mengambil langkah proaktif dengan menjalankan saringan suhu harian dan segera merujuk pelajar bergejala kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan pelitup muka di MRSM Bintulu, Jumaat petang.
Pada majlis berkenaan, Iskandar menyampaikan 2,500 pelitup muka kepada pelajar dan tenaga pengajar MRSM Bintulu, hasil kerjasama Pusat Khidmat N.70 Jepak dengan ALPRO Farmasi.
Selain itu, seramai 350 pelajar turut menghadiri sesi penerangan kesedaran dikendalikan ALPRO Farmasi bagi meningkatkan pemahaman tentang langkah pencegahan influenza, termasuk kepentingan kebersihan diri, etika batuk dan vaksinasi.
Iskandar turut menasihatkan ibu bapa agar lebih peka terhadap simptom penyakit berkenaan dan segera membawa anak mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan sekiranya bergejala.
“Ibu bapa perlu sentiasa berhubung dengan pihak sekolah dan mengambil tindakan segera apabila dimaklumkan anak menunjukkan tanda-tanda influenza.
Kerjasama antara keluarga, sekolah dan agensi kesihatan amat penting bagi mengawal penularan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengurusan MRSM Bintulu serta pengetua sekolah atas kecekapan dan keprihatinan dalam menangani situasi tersebut.


