JULAU: Sebanyak RM32,000 diperuntukkan kepada PIBG SK Nanga Entaih dan Klinik Kesihatan Nanga Entaih dalam usaha memperkasa kemudahan pendidikan serta perkhidmatan kesihatan komuniti setempat.
Menurut Datuk Larry Sng Wei Shien, Pengerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), penambahbaikan kemudahan sekolah perlu diberi keutamaan bagi memastikan pelajar luar bandar tidak ketinggalan berbanding rakan mereka di kawasan bandar.

“Kami menekankan semua bidang, bukan sahaja pendidikan, tetapi juga sukan dan kurikulum,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Asrama Terbuka SK Nanga Entaih semalam.
Beliau berkata pembangunan pelajar perlu dilihat secara menyeluruh kerana pada masa hadapan, kebolehan, personaliti serta keyakinan diri akan menjadi antara penilaian utama majikan.

“Pada masa hadapan, apabila mereka meninggalkan sekolah dan memohon pekerjaan, majikan akan menilai kebolehan, personaliti serta keupayaan mereka melaksanakan tugas dengan yakin serta pelbagai aspek lain,” jelasnya.
Tambah beliau, sokongan terhadap keperluan sekolah akan terus diberikan termasuk dari segi penyediaan kemudahan seperti TV pintar dan penambahbaikan infrastruktur.
“Kami tidak hanya menumpukan kepada kurikulum, oleh itu saya menyokong sepenuhnya sekolah dalam memenuhi keperluan mereka.
“Kadangkala mereka memerlukan bantuan pembelian TV pintar serta penambahbaikan infrastruktur sekolah dan semua itu sangat penting,” ujarnya.
Beliau turut berharap agar semua kemudahan dapat dipertingkatkan demi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selesa dan mampan.
“Saya tidak mahu kita ketinggalan berbanding mereka yang berada di kawasan bandar, dan saya berharap perkara ini diberi perhatian dalam meningkatkan tahap kemudahan yang digunakan oleh pelajar kita,” katanya lagi.


