SONG: Warga SK Nanga Temalat kini menikmati kemudahan pendidikan lebih lengkap dan kondusif susulan siapnya projek pembangunan semula sekolah berkenaan pada 18 September lalu.
Projek berkenaan dilaksanakan menerusi Cadangan Pembangunan Semula Sekolah Daif di Negeri Sarawak Menggunakan Peruntukan RM1 Bilion (Fasa 2), Pakej 10.
Pengarah Kerja Raya Sarawak, Datuk Ir. Dr. Cassidy Morris berkata, pembangunan itu merangkumi penyediaan kemudahan baharu bagi menyokong keperluan warga sekolah, khususnya di kawasan pedalaman.

“JKR Sarawak sentiasa terbuka untuk membantu pihak sekolah atas dasar tanggungjawab sosial, sekali gus memperkukuh hubungan kerjasama antara jabatan dengan komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Siap Cadangan Pembangunan Semula Sekolah Daif di Negeri Sarawak Menggunakan Peruntukan RM1 Bilion (Fasa 2), Pakej 10: SK Nanga Temalat, di sini.
Menurutnya, penghargaan turut diberikan kepada JKR Bahagian Kapit dan pihak kontraktor atas komitmen serta kerjasama sepanjang pelaksanaan projek sehingga projek itu berjaya disiapkan dan diserahkan kepada pihak sekolah.
“Projek berkenaan melibatkan kerja perobohan serta pembinaan bangunan lengkap dengan sistem mekanikal dan elektrikal.
“Skop pembangunan merangkumi sebuah blok pentadbiran empat tingkat, dua blok berek berkembar jenis C serta masing-masing sebuah blok asrama lelaki dan perempuan berkapasiti 30 penghuni,” ujarnya.
Katanya lagi, turut disediakan ialah dua buah rumah pam, termasuk sebuah bersaiz lebih kecil, serta empat platform tangki air bertingkat.
“Kerja luaran pula melibatkan penyediaan laluan pejalan kaki dan sistem perparitan bagi melengkapkan kemudahan sekolah.
“Projek itu turut merangkumi pembekalan dan pemasangan papan kenyataan, papan putih, perabot bilik sains serta sekatan ruang kerja bagi pejabat pentadbiran,” jelasnya.
Dengan siapnya projek berkenaan, kemudahan yang disediakan dijangka menyokong kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran serta memberikan manfaat kepada murid, guru dan seluruh warga SK Nanga Temalat.


