ARTIKEL

Datuk Len Talif bercakap kepada media selepas meninjau persiapan akhir tapak penganjuran SKS di Kompleks Sukan Sarikei.

SKS Sarikei 2026 Himpun Pelbagai Tarikan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SARIKEI: Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 yang berlangsung di Kompleks Sukan Sarikei bermula 7 Ogos ini dijangka menjadi antara penganjuran terbesar tahun ini dengan menampilkan pelbagai kelainan termasuk pengisian interaktif, perkhidmatan kerajaan di bawah satu bumbung serta aktiviti yang sesuai untuk seisi keluarga.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, berkata majlis perasmian program itu akan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di Pentas Utama Kompleks Sukan Sarikei, sekali gus menjadi kemuncak kepada penganjuran yang menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dan rakan strategik.

Beliau berkata, SKS bukan sekadar program pameran, sebaliknya menjadi medium penting bagi mendekatkan kerajaan dengan rakyat menerusi penyampaian maklumat, perkhidmatan serta pelbagai inisiatif pembangunan yang dilaksanakan di seluruh Sarawak.

“Program ini bakal menghimpunkan penyertaan kementerian, jabatan kerajaan, badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), institusi pendidikan dan sektor swasta bagi memudahkan orang ramai mendapatkan pelbagai perkhidmatan di satu lokasi,” katanya ketika ditemui media selepas meninjau persiapan akhir tapak penganjuran SKS di Kompleks Sukan Sarikei, hari ini.

Len Talif berkata, hasil mesyuarat penyelarasan terakhir yang diadakan mendapati semua persiapan berada pada tahap memuaskan dan mengikut jadual yang ditetapkan.

Katanya, komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh setiap kementerian, jabatan serta agensi berkaitan membolehkan setiap aspek penganjuran diperincikan dengan teliti bagi memastikan kelancaran program.

Sebagai wakil rakyat kawasan Kuala Rajang, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak serta jawatankuasa penganjur yang bertungkus-lumus menjayakan acara berkenaan.

Sehubungan itu, orang ramai khususnya penduduk Bahagian Sarikei dan kawasan sekitarnya disaran hadir beramai-ramai bagi memeriahkan Program Sarawakku Sayang 2026 serta memanfaatkan pelbagai perkhidmatan, pameran dan aktiviti yang disediakan sepanjang penganjurannya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU