SARIKEI: Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 di sini membuka tirainya dengan majlis pelancaran yang disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Program yang berlangsung selama tiga hari bermula 7 hingga 9 Ogos ini menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dan rakan strategik dalam usaha memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

SKS kali ini menawarkan pelbagai pengisian termasuk pameran perkhidmatan kerajaan, kaunter bantuan, peluang pendidikan dan pekerjaan, persembahan kebudayaan, konsert rakyat serta Sarawak Kitchen, sebelum kemuncaknya yang akan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Abu Bakar Marzuki berkata, kejayaan program ini bergantung kepada semangat kerjasama erat antara semua jabatan dengan agensi dalam perkhidmatan awam bagi memastikan setiap perancangan dapat dilaksanakan dengan lancar.
“Persiapan menjelang majlis perasmian rasmi oleh Premier Sarawak berjalan mengikut perancangan, manakala pelbagai agensi bersedia mempamerkan inisiatif, perkhidmatan serta produk masing-masing kepada orang ramai,” katanya kepada media.
Beliau berkata, konsep SKS diwujudkan bagi membawa perkhidmatan kerajaan lebih dekat dengan rakyat supaya masyarakat tidak perlu berurusan di pelbagai lokasi untuk mendapatkan maklumat atau menyelesaikan urusan berkaitan.
Beliau turut menjelaskan bahawa antara tarikan utama ialah kaunter berkaitan pendidikan dan peluang kerjaya yang memberi ruang kepada golongan belia mendapatkan maklumat pengajian, latihan kemahiran serta peluang pekerjaan dalam sektor awam dan swasta.
Dalam pada itu, pihak penganjur menjangkakan kira-kira 30,000 pengunjung menghadiri SKS 2026 sepanjang tiga hari penganjurannya berdasarkan sambutan menggalakkan yang diterima pada edisi terdahulu di beberapa bahagian lain di Sarawak.


