SERIAN: Skuad gimnastik artistik wanita Sarawak menepati sasaran dengan menambah pingat gangsa pada pusingan akhir berpasukan pada SUKMA XXI.
Pasukan terdiri daripada Allya Kauthar Openg, Audi Zulkarnien, Audrey Jude Rendih Alexander, Cassandra Lavigne Shelden, dan Nur Qurratu Aini Norasharudin itu berjaya mengumpul mata keseluruhan sebanyak 172.700.

Sementara Pasukan Wilayah Persekutuan meraih pingat emas dengan mata 174.050, manakala Selangor memperoleh perak dengan 173.500 mata.
Dalam final gimnastik artistik wanita ‘all-around’, Cassandra turut membawa pulang pingat gangsa dengan markah 47.300.
Dalam pada itu, Selangor diwakili Zi Qi The memperoleh pingat emas dengan mata 49.600, manakala Marissa Zaiful Azian dari Wilayah Persekutuan membawa pulang perak dengan catatan mata 47.750.
Ketua jurulatih Sarawak, Maia Gvaramadze menzahirkan rasa puas hati dengan prestasi pasukan itu, dengan menyatakan bahawa mereka mencapai sasaran.
Untuk rekod, acara gimnastik artistik menawarkan 14 pingat emas dan berlangsung mulai 21 hingga 24 Ogos ini.



