SELANGOR: Skuad gimnastik berirama menjadi penyumbang pingat pertama buat Kontinjen Sarawak apabila meraih gangsa dalam acara berpasukan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, hari ini.
Pingat itu diraih menerusi gandingan Nichelle Kung Tze Xuan, Eliza Toh Ryui Ya, Clarissa Makena Ambok Joseph dan Shirley Chia Xin Shuen selepas mengumpul 170.950 mata keseluruhan.
Penolong Ketua Kontinjen (ACDM) Gimnastik Sarawak, Kho Teck Wan menyifatkan kejayaan itu cukup bermakna kerana menjadi pingat pertama Sarawak pada temasya kali ini.
“Kesemua mereka telah memberikan persembahan terbaik dalam usaha memburu pingat gangsa acara ini.
“Sudah tentu terdapat beberapa kesilapan kecil, tetapi kami tetap berjaya membawa pulang pingat,” katanya.
Acara gimnastik berirama berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Teck Wan berkata komitmen dan disiplin tinggi atlet, khususnya dalam aspek pemakanan serta pengurusan kecederaan, menjadi antara faktor yang membantu mereka mencapai sasaran.
“Berbanding atlet lain, atlet gimnastik perlu lebih mengawal pemakanan. Pemakanan mereka sangat terkawal dan mereka amat berdisiplin.
“Mereka juga berdepan banyak kecederaan, tetapi kami berjaya melaluinya,” katanya.
Beliau berkata kehadiran jurulatih baharu tahun ini serta kerjasama erat semua pihak turut menyumbang kepada kejayaan pasukan.
Sementara itu, Shirley menyifatkan kejayaan tersebut sebagai sesuatu yang membanggakan, terutama selepas membuat penampilan sulung di pentas SUKMA.
Latihan intensif yang dijalani sepanjang beberapa bulan lalu sebagai persiapan menghadapi temasya berkenaan akhirnya membuahkan hasil.
“Saya berterima kasih kepada jurulatih, keluarga dan rakan-rakan kerana sentiasa menyokong saya sepanjang pertandingan ini,” katanya.
Dalam acara berkenaan, Wilayah Persekutuan (WP) meraih emas selepas mengumpul 227.050 mata, manakala tuan rumah Selangor membawa pulang perak dengan 214.350 mata.

