MUKAH: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Patrick Mukah, antara institusi pendidikan tertua di Bahagian Mukah, bakal menikmati kemudahan dewan serbaguna baharu menerusi projek bernilai RM500,000 di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP).
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Hanifah Hajar Taib berkata projek itu dilaksanakan menerusi peruntukan Kerajaan Sarawak untuk menyediakan kemudahan yang lebih selesa dan kondusif kepada warga sekolah.
Katanya, kerajaan sentiasa komited untuk memastikan kemudahan pendidikan di kawasan luar bandar terus dipertingkatkan sejajar dengan keperluan semasa.

“Usaha menaik taraf dan menambah baik infrastruktur sekolah penting bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat, selesa dan kondusif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan tapak bagi meninjau perkembangan pembinaan dewan serbaguna berkenaan di sini, hari ini.
Sebelum lawatan tersebut, Hanifah, yang juga Ahli Parlimen Mukah, turut menerima taklimat mengenai latar belakang sekolah serta status pelaksanaan projek daripada pihak pengurusan sekolah dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Mukah.
SMK St Patrick yang berusia 121 tahun merupakan antara institusi pendidikan tertua di Bahagian Mukah dan terus memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi berilmu serta modal insan berkualiti di kawasan itu.
Hanifah berkata pelbagai bantuan turut disalurkan sebelum ini kepada SMK St Patrick, termasuk kerja naik taraf serta pembinaan kemudahan baharu bagi menyokong pembangunan pendidikan sekolah berkenaan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kepentingan pemantauan berterusan terhadap projek tersebut bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar mengikut jadual yang ditetapkan.
Beliau berharap projek itu dapat disiapkan mengikut perancangan, sekali gus memberi manfaat kepada pelajar, guru dan komuniti setempat.


