KUCHING: Sekolah Perniagaan, Undang-Undang dan Keusahawanan (SoBLE) Universiti Teknologi Swinburne di Kampus Hawtorn menerima pengiktirafan daripada Association to Advance Collegiate Schools of Business (AACSB) untuk tempoh enam tahun lagi.
Universiti Teknologi Swinburne dalam satu kenyataan berkata, pengiktirafan global itu sebagai penanda aras kecemerlangan dalam pendidikan perniagaan.
“Pengiktirafan semula AACSB ini merupakan satu pencapaian berprestij yang hanya dimiliki kurang daripada enam peratus sekolah perniagaan di seluruh dunia.
“Ia sekali gus mengukuhkan komitmen berterusan Swinburne dalam menyediakan pendidikan perniagaan yang berkualiti tinggi dan berimpak.
“Pengiktirafan ini mencerminkan kecemerlangan kolaboratif di antara kampus-kampus Swinburne dengan rakan pengajarnya,” jelas kenyataan itu.
Sementara itu, Dekan Fakulti Perniagaan, Reka Bentuk dan Seni Swinburne Sarawak, Profesor Dr Brian Wong berkata, pengiktirafan tersebut menunjukkan bahawa Swinburne Sarawak terus mengekalkan piawaian tertinggi dalam bidang pendidikan perniagaan.
Tegas beliau, pengiktirafan AACSB adalah sejajar dengan matlamat strategik fakulti dalam usaha memperkukuh kualiti akademik, kejayaan pelajar dan penyelidikan berimpak di seluruh rantau ini.


