ARTIKEL

RAZI SITAM menerima cenderamata daripada Abang Zulkifli pada Seminar Pembangunan Tanah Pertanian: Pentadbiran dan Pembangunan Tanah Warisan Lubuk Tamang di Debak.

Sokong bangunkan tanah terbiar

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DEBAK: Kerajaan bersedia menilai bantuan bersesuaian sebagai usaha menyokong inisiatif koperasi membangunkan tanah terbiar di Saribas.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Mohammad Razi Sitam menzahirkan rasa gembira dengan hasrat beberapa koperasi tempatan yang berhasrat memperluaskan penggunaan tanah untuk pertanian.

Menurutnya, perancangan pihak koperasi itu bertepatan dengan usaha kerajaan membangunkan Taman Pertanian Saribas di Lubuk Tamang, yang terletak di sekitar kawasan sama.

“Saya gembira dengan inisiatif Koperasi Lubuk Tamang Berhad dan Koperasi Panjap Berhad untuk membangunkan tanah yang terbiar.

“Sehubungan itu, kerajaan bersedia menilai apa-apa yang patut untuk membantu program pembangunan rakyat, terutama bidang pertanian,” katanya.

ADUN Saribas itu berkata demikian semasa merasmikan Seminar Pembangunan Tanah Pertanian: Pentadbiran dan Pembangunan Tanah Warisan Lubuk Tamang di Dewan Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Debak (LAKMD).

Beliau menyarankan ahli koperasi bekerja keras untuk memulakan tindakan awal sebelum mendapat bantuan kerajaan.

“Kerajaan akan lebih mudah menyalurkan bantuan jika rakyat telah memulakan usaha terlebih dahulu

. “Saya percaya usaha koperasi itu kelak menjadi pemangkin kepada keluaran hasil pertanian di kawasan Saribas dan pastinya akan menyediakan peluang pekerjaan menguntungkan rakyat serta pekebun tempatan,” ujarnya.

Razi menyarankan supaya tindakan segera dilakukan terutama dalam pembentukan jawatankuasa kerja dan kertas kerja rancangan.

Terbinanya jalan raya yang menghubungi Suri Debak ke Kampung Tuie sepanjang 9.5 kilometer oleh Kerajaan Sarawak akan memudahkan lagi pelaksanaan projek tersebut.

Hasil perbincangan pada seminar itu, dicadangkan supaya jalan yang baharu siap itu dinamakan sebagai Jalan Lubuk Tamang.

Sementara itu, Pengerusi Koperasi Lubuk Tamang Berhad Abang Zulkifli Abang Engkeh memaklumkan, seminar sebulat suara bersetuju Koperasi Lubuk Tamang Berhad dan Koperasi Panjap Berhad untuk mencari solusi terbaik bagi mempercepatkan projek yang dirancang.

Katanya, jawatankuasa kerja yang ditubuh akan berbincang dengan rakan strategik untuk mendapatkan nasihat pakar dan pembinaan infrustruktur.

“Tanah adat seluas kira-kira 900 ekar itu akan ditanam dengan tanaman pilihan yang dinilai serta mendapat sambutan di pasaran… pilihan utama ialah padi,” tambahnya.

Seminar yang dianjur oleh Koperasi Lubuk Tamang Berhad dan Koperasi Panjap Berhad dihadiri 70 peserta.

Tiga kertas kerja dibentangkan oleh penceramah termasuk Abang Zulkifli sendiri sebagai Ketua Biro Pertanian Keadilan Sarawak tentang Aspirasi dan Pendekatan Pembangunan Tanah Warisan Lubuk Tamang.

Sementara itu, pekebun berjaya dari Sadong Jaya Morsihidi Ramli menyampaikan ceramah bertajuk “Pertanian adalah Perniagaan”.

Manakala, usahawan berjaya Ir Mohd Eden Ali dari Saribas membentang kertas kerja bertajuk “Anjakan Pemikiran Alaf Baru”.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU