Sokong PKP fasa ketiga

KUCHING: Cuepacs Negeri Sarawak akur dan menyokong penuh langkah melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April ini.

Pengerusinya Ahmad Mahlie berkata, perkara tersebut adalah usaha baik daripada kerajaan dalam mengekang serta memutuskan rantaian penularan pandemik Covid-19 ini.

“Cuepacs sedar dan faham dengan lanjutan tempoh PKP Fasa Ketiga ini pasti akan membabitkan lanjutan tugas, manakala petugas barisan hadapan juga sudah pasti terbeban kerana tugas mereka semakin mencabar.

“Justeru, kami melahirkan empati serta berdoa agar mereka yang bertugas di barisan hadapan terus diberikan kekuatan, cekal dan tabah menghadapi cabaran berat ketika ini,” ujarnya semalam.

Tambah Ahmad, mereka juga menasihatkan agar petugas barisan hadapan sentiasa menjaga keselamatan dan kesihatan diri mereka sepanjang bertugas.

“Kami sangat menghargai pengorbanan dan jasa mereka yang bertugas di barisan hadapan.

Mereka berhadapan dengan risiko dan bahaya demi nyawa orang lain,” katanya.

Beliau menyatakan, pihak mereka menyeru orang ramai untuk mematuhi PKP fasa ketiga ini kerana tindakan tersebut dapat menunjukkan tanda penghargaan dan membalas jasa serta bakti petugas barisan hadapan.

“Dengan mematuhi PKP Fasa Ketiga ini secara langsung ia membantu mereka yang bertugas di barisan hadapan memutuskan rantaian penularan pandemik ini,” jelasnya lagi.

Suara Sarawak