ARTIKEL

Fatimah merakam kenangan bersama penerima dan penganjur Program Penjagaan Komuniti My Little Moments 2026 di My Little Moments, Kubah Ria, Kuching, semalam. FOTO: MOHD ALIF NONI

Sokongan kepada pasangan muda perlu diperkukuh

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sokongan kepada pasangan muda yang mempunyai anak kecil perlu diperkukuh bagi membantu mereka mengurus pertimbangan kewangan dan kesediaan membina keluarga, kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Menurutnya, faktor kewangan antara perkara yang sering dipertimbangkan pasangan muda ketika menentukan bilangan anak dan merancang kehidupan berkeluarga, justeru sokongan daripada kerajaan serta sektor korporat penting bagi memberi keyakinan kepada mereka.

“Saya percaya sumbangan yang diberi kepada pasangan yang masih mempunyai anak kecil ini adalah satu perkara yang sangat bermakna,” katanya.

“Kalau kita tanya kepada pasangan yang baru berkahwin berapa orang anak yang mereka mahukan, kita kadang-kadang terkejut apabila mereka berkata tunggu dahulu dari segi keadaan kewangan sehingga lebih stabil,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Penjagaan Komuniti My Little Moments 2026 di My Little Moments, Kubah Ria, di sini, semalam.

Menurutnya, pertimbangan mengenai kewangan dan kesediaan keluarga turut berkait dengan keperluan menyediakan kehidupan serta peluang pendidikan yang lebih baik kepada anak-anak.

“Justeru, inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang membantu keluarga dengan keperluan asas bayi dan kanak-kanak dapat melengkapi sistem sokongan yang disediakan kerajaan,” katanya.

“Ini satu perkara yang menjadi pertimbangan bagi pasangan muda, berapa orang ahli keluarga dan bila hendak mula merancang untuk mempunyai keluarga,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, program Penjagaan Komuniti My Little Moments merupakan contoh bagaimana sektor korporat dapat bersama-sama kerajaan membantu keluarga yang memerlukan.

“CSR seperti ini sangat dialu-alukan kerana ia melengkapkan apa yang dilakukan oleh kerajaan untuk memastikan adanya sistem sokongan kepada keluarga yang mempunyai ahli baharu,” katanya.

“Apabila orang yang mempunyai hati yang baik bersama-sama membantu, mudah-mudahan lebih banyak program seperti ini dapat dilaksanakan,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau berharap inisiatif tanggungjawab sosial korporat seumpama itu turut diperluas ke kawasan luar bandar supaya pasangan muda di luar bandar tidak tercicir daripada menerima manfaat.

“Saya berharap suatu hari nanti rakyat kita di luar bandar juga dapat menikmati CSR seperti ini,” katanya.

“Saya tahu ia melibatkan jarak, pengangkutan dan kos tambahan, tetapi kita tidak boleh berputus harapan,” ujarnya.

“Dalam masa yang sama, program ini membuktikan bahawa sokongan terhadap keluarga bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan sektor korporat dan komuniti,” jelasnya.

“Ini boleh dicontohi oleh badan korporat lain kerana ia melengkapkan apa yang dilakukan oleh kerajaan, terutama membantu golongan yang memerlukan,” tambahnya.

Program tersebut melibatkan seramai 100 keluarga menerima bakul keperluan asas bernilai kira-kira RM300 setiap satu, membabitkan jumlah sumbangan kira-kira RM30,000.

Bantuan yang disediakan merangkumi produk keperluan bayi dan kanak-kanak seperti susu tepung, susu formula, yogurt, lampin pakai buang, tisu basah serta barangan penjagaan diri, termasuk sumbangan daripada Farm Fresh, MILK dan Pigeon.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU