SOP di kawasan PKP Sarawak masih kekal seperti biasa

KUCHING: Pengoperasian kedai gunting rambut dan pasar malam di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sarawak masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, bagaimanapun perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat JPBN jika perlu.

“Setakat ini, tiada perubahan SOP untuk pengoperasian kedai gunting rambut dan pasar malam di kawasan PKP,” katanya ketika sidang media harian Covid-19 di Bangunan Dun Lama di sini, hari ini.

Menurut beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri, garis panduan yang di Sarawak sememangnya selalu berbeza dengan negeri lain.

“Malah, walaupun seluruh negara kini sedang melaksanakan PKP, tetapi hanya sebahagian daerah di Sarawak melaksanakan perintah itu dan kawasan lain kekal PKP Bersyarat.

“Kita akan menyesuaikan SOP dengan situasi di Sarawak,” jelas beliau.

Uggah memberitahu, walaupun Sarawak masih kekal dengan SOP sedia ada, tetapi ia tidak bermakna mereka tidak bersetuju dengan SOP yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan di kawasan PKP.

Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan, operasi pasar malam, kedai gunting rambut dan pusat cuci kereta dibenarkan untuk beroperasi bermula esok.

Katanya, pengoperasian tiga jenis perniagaan itu dibenarkan dengan SOP yang ketat.

Suara Sarawak