MUKAH: Seorang lelaki warga Indonesia ditahan selepas polis menemui dadah disyaki syabu seberat 9.40 gram dalam serbuan di sebuah rumah pekerja ladang sawit di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintenden (DSP) Muhamad Rizal Alias berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, suspek, 31, ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah hasil maklumat dan risikan.
“Hasil pemeriksaan di dalam bilik rumah berkenaan menemukan dua paket plastik lut sinar dan empat keratan tiub straw lut sinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu.

“Kesemua dadah berkenaan ditemukan disimpan di dalam kotak rokok jenama Era milik suspek.
“Anggaran berat kasar dadah yang dirampas ialah 9.40 gram dengan anggaran nilai RM500,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelasnya, suspek bersama barang rampasan kemudian dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Hasil ujian air kencing yang dijalankan terhadap suspek turut mendapati dia positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dengan jumlah tertentu.
“Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana menggunakan dadah secara salah serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya lagi.
Tambah Rizal, suspek yang bekerja sebagai buruh ladang sawit itu direman selama empat hari sehingga 22 Ogos ini bagi melengkapkan siasatan.
Dalam pada itu, IPD Mukah menegaskan pihaknya akan terus mempergiatkan usaha membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah dan dadah boleh menghubungi IPD Mukah di talian 084-871222 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran,” tambahnya lagi.


