ARTIKEL

HIBA… Ibu Amoy, Nasib Kantok, 60, tidak dapat menahan sebak semasa pengebumian Nurul Asikin.

Sorotan kes jenayah sepanjang 2024, pembunuhan Amoy gempar

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MAHKAMAH di Kuching melabuhkan tirai 2024 dengan beberapa kes hangat seperti pembunuhan Nurul Asikin (Amoy) oleh seorang peminat bola sepak yang tular di media sosial.

Mayat mangsa yang hampir reput ditemukan di dalam sebuah longkang di Jalan Setia Raja pada 14 Disember lalu.

Selain itu, kes pembunuhan beramai-ramai seorang lelaki di sebuah pangsapuri di Sungai Tapang pada 1 Disember lalu.

Pelaku kes bunuh Amoy dan suspek-suspek pembunuh lelaki di Sungai Tapang kini ditahan reman dan dalam siasatan serta bakal dituduh di Mahkamah Kuching.

Sudah semestinya, kedua-dua kes ini diikuti rapat media untuk mengetahui kesudahan hukuman pelaku pada 2025.

Bagi pembunuh Amoy, sebutan kes pada 20 Febuari 2025.

Disember yang menjadi penutup setiap tahun kali ini juga menyajikan pelbagai kes-kes pelik dan menarik.

Menjadi kenangan apabila liputan di mahkamah iaitu kes pedofilia menjadi juara dalam Anugerah Kenyalang 2024 bagi kategori Rencana dan Berita Rencana.

Liputan kes pedofilia yang mempunyai empat siri itu mengisahkan tentang si pelaku antara 10 penjenayah terhadap kanak-kanak yang paling dikehendaki di dunia.

Saya sempat menemu bual mangsa, mengambil kenyataan si pelaku di mahkamah dan menemu bual pakar untuk melengkapkan siri berita.

Selain dua kes besar di atas, pada 18 Disember lalu, pemenjaraan selama tiga bulan seorang pempengaruh media sosial yang popular digelar magjohari kerana mencuri wang majikannya sebanyak RM668.

Tertuduh yang merayu agar hukumannya ditangguhkan ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuching selepas dia hilang merit untuk menangguhkan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan, dia didakwa mencuri wang tunai berjumlah RM668 milik syarikat majikannya yang merupakan pusat rawatan kecantikan dan spa.

Dia melakukan kesalahan itu pada 17 November 2022 dan 14 Mac 2023 di pusat berkenaan di Jalan Laksamana Cheng Ho.

Selain itu, terdapat kes amang seksual terhadap kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun yang akhirnya pelaku dikenakan hukuman penjara 11 tahun.

Pelaku itu merupakan bapa saudara mangsa yang datang dari Sibu ke Kuching dan menumpang sementara di rumah mereka.

Tertuduh berusia 40 tahun itu didakwa di bawah Seksyen 14 (b) AKKSTKK 2017 dan Seksyen 14 (a) AKKSTKK 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Dia melakukan perbuatan terkutuk itu di ruang tamu dan bilik tidur sebuah rumah di Jalan Sejijak, di sini, antara jam 4.00 pagi hingga 6.30 pagi pada 2 Mei 2023.

Sepanjang 2024, tiada kes selesai yang terlalu besar dilaporkan seperti 2023, namun, ada beberapa yang menarik perhatian pembaca di media sosial.

Antaranya pada November lalu, kes pergaduhan antara pelanggan dengan pekerja kedai kopi yang bergaduh gara-gara pelanggan terkurang bayar minuman air kacang soya sebanyak RM0.40.

Kedua-dua mereka dikenakan bon menjaga keamanan selama enam bulan di bawah Seksyen 67 Kanun Tatacara Jenayah, namun pengadu yang berasa maruahnya tercalar menentang keras perintah tersebut, lalu mengambil peguam bela untuk sebutan dan rayuan kes.

Akhirnya, hanya pekerja itu yang dikenakan bon menjaga keamanan selama enam bulan. Kes ini mencuit hati dan menerima komen positif dan negatif daripada pelbagai golongan netizen.

Sepanjang tahun ini, kes paling banyak didakwa di mahkamah ialah kes kecurian, rompak bersenjata, samun, pecah masuk rumah, ugutan jenayah, pergaduhan antara suami isteri, pergaduhan keluarga dan pergaduhan antara kenalan atau rakan.

Kes melibatkan aktiviti penyalahgunaan dadah dan memiliki bahan terlarang setiap hari sentiasa ada sebutan kes terbabit di Mahkamah Majistret.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU