KOTA SAMARAHAN: Kuching dan Samarahan turun berentap di Stadium Terbuka Kota Samarahan Sabtu ini bagi merebut gelaran juara Zon Selatan, Liga Premier Sarawak 2026 (SPL 2026).
Masing-masing pasukan sudah melalui lima perlawanan setakat ini. Namun, Kuching gah berada di atas ketika ini dengan 15 mata.
Berbanding, Samarahan di kedudukan kedua dengan 13 mata.
Aksi terakhir membabitkan kedua-dua pasukan itu dilihat cukup signifikan kerana ia ibarat perlawanan akhir.

Kedua-duanya turun dengan misi berbeza, namun keinginan sama untuk bergelar juara Zon Selatan.
Pasukan Kuching hanya memerlukan satu mata untuk sah bergelar juara.
Berbeza dengan Samarahan yang perlu menang perlawanan tersebut untuk kembali merampas kedudukan selaku pendahulu.
Segalanya agak sukar untuk dirungkai kerana masing-masing mempunyai kelebihan.
Tempoh 90 minit masa permainan sebenar akan menjawab segala persoalan tersebut.
Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Samarahan (PBBS), Mohd. Azri Johari sememangnya berharap kemenangan dapat diperoleh barisan pemainnya.
Menurut Azri, kelebihan dimiliki pasukannya apabila beraksi di laman dan hadapan penyokong sendiri.
“Kita tidak rela berputih mata untuk meraih tiga mata penting aksi terakhir menentang jiran tetangga (Kuching) Sabtu nanti,” ujar Azri kepada Arena Suara Sarawak.


