ARTIKEL

SPR beri sebulan kemuka bantahan persempadanan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Orang ramai diberi tempoh sebulan untuk mengemukakan representasi terhadap syor kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya Persekutuan dan negeri di Sarawak, bermula 1 hingga 30 September ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, notis kajian semula persempadanan berkenaan telah disiarkan dalam warta hari ini.

Katanya, selaras dengan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan, SPR perlu menyiapkan kajian semula persempadanan dalam tempoh tidak melebihi dua tahun dari tarikh notis itu diwartakan.

Selaras dengan Seksyen 5, Bahagian II, Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan, siasatan tempatan akan diadakan terhadap representasi membantah syor berkenaan yang dikemukakan oleh kerajaan negeri atau mana-mana pihak berkuasa tempatan yang kawasan keseluruhan atau sebahagiannya terlibat dengan syor itu.

Selain itu, bantahan boleh dikemukakan sekumpulan sekurang-kurangnya 100 orang yang namanya terdapat dalam daftar pemilih semasa bagi bahagian pilihan raya berkenaan.

“Sebarang representasi membantah syor yang dicadangkan hendaklah dikemukakan secara bertulis kepada SPR dan dihantar secara dalam talian melalui pautan yang disediakan atau dialamatkan kepada Pegawai Pilihan Raya Negeri Sarawak,” katanya.

Khairul berkata, SPR bagi maksud kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya di Sarawak mencadangkan tiada perubahan bilangan kerusi Parlimen bagi negeri itu.

Bagaimanapun, jumlah kerusi DUN Sarawak dicadangkan bertambah 17, menjadikan keseluruhan 99 kerusi.

Selain itu, pindaan nama dicadangkan bagi satu kawasan Parlimen dan 10 kawasan DUN di Sarawak.

“Satu salinan syor yang dicadangkan berserta Rang Pelan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri dalam Sarawak turut dipamerkan untuk pemeriksaan orang ramai pada waktu pejabat hari bekerja di tempat yang dinyatakan dalam notis,” katanya.

Orang ramai juga boleh mendapatkan salinan syor dan rang pelan berkenaan menerusi portal rasmi SPR.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Hotline KSP Sarawak di talian 082-549420 atau melalui e-mel ksp@spr.gov.my.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU