KUCHING: Bakal calon Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13 diingatkan supaya melengkapkan borang penamaan calon, membuat semakan awal dan menjelaskan bayaran deposit bagi memastikan proses penyerahan dokumen pada Hari Penamaan Calon (HPC) berjalan lancar.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, bakal calon boleh membuat semakan dengan Pejabat Pegawai Pengurus Pilihan Raya atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Sarawak sebelum HPC pada 28 November ini.
“SPR turut mengingatkan bakal calon supaya membawa resit pembayaran deposit sebagai bukti ketika menyerahkan kertas penamaan calon.
“Penyerahan kertas penamaan calon akan berlangsung dari 9 pagi hingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya di 82 pusat penamaan calon yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, penyerahan kertas penamaan calon boleh dilakukan oleh calon bersama pencadang dan penyokong, mana-mana dua daripada mereka atau seorang sahaja.
Sementara itu, bakal calon yang mewakili parti politik perlu mengemukakan surat kebenaran penggunaan lambang parti masing-masing ketika menyerahkan kertas penamaan calon.
SPR turut mengingatkan calon yang telah membayar deposit bahan kempen supaya mematuhi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5] serta undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan (PBT).
Antara larangan yang perlu diberi perhatian termasuk penggunaan alat muzik atau pembesar suara untuk tujuan berkempen melalui kenderaan.
Calon juga dilarang menunggu atau berada dalam lingkungan 50 meter dari sempadan yang ditetapkan pada Hari Penamaan Calon, kerana perbuatan itu merupakan kesalahan di bawah Akta 5.
Sehubungan itu, SPR menyeru semua bakal calon dan parti politik supaya mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika serta arahan SPR, PBT dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan proses penamaan calon berlangsung dengan teratur.


