KUCHING: Pemimpin DAP dari luar Sarawak yang memegang jawatan dalam Kabinet Persekutuan tidak akan menyertai kempen Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13 bagi menghormati kerjasama politik dalam Kerajaan Perpaduan.
Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, keputusan itu dicapai menerusi perbincangan dengan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, susulan keputusan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk tidak bertanding pada pilihan raya negeri berkenaan.
Menurutnya, ketetapan itu bertujuan memastikan hubungan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan terus dihormati, tanpa menjejaskan autonomi DAP Sarawak.
Beliau berkata, keputusan itu menegaskan komitmen DAP Sarawak untuk mengendalikan sendiri gerak kerja pilihan raya tanpa bergantung kepada penyertaan pemimpin parti dari luar negeri ini.
Bagaimanapun, katanya, pendirian itu tidak bermakna DAP Sarawak berundur daripada persaingan, sebaliknya parti berkenaan kekal berhak menentukan kerusi yang akan ditandingi berdasarkan keputusan kepimpinannya sendiri.
Chong menegaskan, kuasa menentukan penyertaan parti dalam pilihan raya negeri bukan kelonggaran baharu daripada kepimpinan pusat, sebaliknya prinsip autonomi yang telah lama diamalkan DAP Sarawak.
“Ini termasuk jumlah kerusi yang ditandingi, pemilihan calon dan urusan menandatangani watikah pencalonan menggunakan lambang DAP. Semua keputusan tersebut dibuat di Sarawak oleh kepimpinan DAP Sarawak,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP turut mengesahkan bahawa kepimpinan tertinggi parti menghormati autonomi berkenaan dan akan mematuhi aturan yang dipersetujui.
Terdahulu, PKR Sarawak mengumumkan keputusan untuk tidak bertanding pada PRN Sarawak Ke-13 bagi menghormati kerjasama politik dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Kerajaan Perpaduan, manakala DAP Sarawak memilih untuk meneruskan penyertaannya.

