MUKAH: Saranan Perdana Menteri supaya pelajar membaca sekurang-kurangnya dua buah buku sepanjang cuti akhir persekolahan perlu dijadikan titik permulaan untuk menyemai budaya ilmu dan memupuk minat membaca dalam kalangan generasi muda.
Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, Dr Azizul Ismail berkata, seruan itu wajar disambut semua pihak bagi membentuk generasi yang menjadikan pembacaan sebagai asas penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang.
Menurutnya, budaya membaca perlu dipupuk secara berterusan supaya kecintaan terhadap ilmu sebati dalam diri golongan muda dan menjadi antara asas pembinaan tamadun bangsa.
Mengulas bahan bacaan yang sesuai, Azizul berkata, pelajar perlu diberikan kebebasan memilih buku berdasarkan minat masing-masing, asalkan bahan berkenaan memberikan manfaat dan inspirasi.
Katanya, pelajar boleh memulakan pembacaan dengan buku berkaitan tokoh dalam bidang yang diminati bagi menyemarakkan semangat mencapai cita-cita serta membina hala tuju kehidupan.
Selain itu, bahan bacaan yang mengetengahkan perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum juga perlu diberikan perhatian bagi memupuk persefahaman dalam kalangan generasi muda.
Menyentuh pengaruh media sosial yang semakin meluas, beliau berkata, buku fizikal masih mempunyai keistimewaan tersendiri dan relevan dalam membentuk prinsip serta jati diri seseorang.
Dalam pada itu, beliau berkata, kecerdasan buatan (AI) boleh dimanfaatkan sebagai sumber maklumat asas dan kerangka awal dalam membina pemikiran, namun penggunaannya perlu diseimbangkan dengan pembacaan bahan berkualiti.
“Pembacaan secara mendalam membolehkan golongan muda membentuk pemikiran lebih menyeluruh, sekali gus membantu mereka mencari penyelesaian terhadap sesuatu isu.
“Justeru, pihak sekolah dan ibu bapa perlu menyediakan prasarana serta persekitaran membaca yang kondusif bagi menggalakkan pelajar mendekati bahan bacaan.
“Ibu bapa juga disaran menjadikan pembelian buku sebagai pelaburan jangka panjang untuk menyokong kecemerlangan anak-anak, bukan sahaja dalam akademik, malah dalam pelbagai aspek kehidupan.
“DBP turut berperanan sebagai wahana pembudayaan ilmu menerusi penyediaan prasarana perbukuan serta bahan bacaan berkualiti dan berwibawa untuk masyarakat,” jelasnya.
Sehubungan itu, Azizul menegaskan keberkesanan usaha membudayakan membaca tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah buku yang dihabiskan semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira perubahan positif terhadap pemikiran dan pembentukan karakter pembaca.
Beliau berharap saranan Perdana Menteri itu menjadi pemangkin kepada usaha lebih menyeluruh dalam membentuk generasi muda yang bukan sahaja menjadikan membaca sebagai amalan, malah menghargai buku sebagai sumber ilmu dan panduan kehidupan.

