KUCHING: Pengunjung IKEA Kuching kini berpeluang menikmati kek lapis Sarawak menerusi kerjasama pasar raya perabot itu dengan pengeluar tempatan, sekali gus memperkenalkan produk ikonik negeri ini kepada pelanggan.
Pengurus Stor IKEA Kuching, Pathmalingam Arumugam berkata, idea memperkenalkan kek lapis Sarawak tercetus selepas pasukan IKEA mengadakan lawatan ke Sarawak pada April lalu.
Menurutnya, lawatan ke sebuah kilang kek lapis ketika itu membuka peluang kepada pengurus IKEA Food peringkat kebangsaan untuk memulakan proses mendapatkan bekalan menerusi kerjasama dengan pengeluar tempatan.
“Selepas melalui proses berkenaan, akhirnya kami berjaya menjalin kerjasama dan kini kek lapis Sarawak boleh didapati di IKEA Kuching untuk dinikmati rakyat Sarawak,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak selepas sesi pratonton media IKEA Kuching, di sini, hari ini.


Buat masa ini, hanya satu perisa kek lapis Sarawak ditawarkan, namun pihaknya tidak menolak kemungkinan menambah pilihan lain berdasarkan sambutan dan maklum balas pelanggan.
Pada masa sama, IKEA Kuching turut menawarkan hidangan empat biji bebola daging lembu dalam cawan yang disertakan kentang lenyek dan jem lingonberi.
“Pengunjung boleh mendapatkan hidangan itu secara ‘grab and go’ (ambil dan pergi) kerana bebola daging disediakan dalam cawan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Pathmalingam berkata, kira-kira 90 peratus tenaga kerja IKEA Kuching terdiri daripada anak tempatan Sarawak.
Baki 10 peratus pula merupakan tenaga pakar yang dibawa masuk untuk berkongsi kepakaran serta membimbing pekerja tempatan.

