ARTIKEL

PELAJAR SMK Three Rivers menunjukkan buku yang dibaca sebagai menyahut saranan Perdana Menteri supaya murid membaca sekurang-kurangnya dua buah buku sepanjang cuti akhir persekolahan. - FOTO: FB DONNY DAHLAN

Amalan membaca perlu jadi budaya hidup murid

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MUKAH: Amalan membaca perlu dijadikan sebahagian daripada kehidupan seharian murid dan bukan sekadar memenuhi arahan sekolah, selaras saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya setiap murid membaca sekurang-kurangnya dua buah buku sepanjang cuti akhir persekolahan.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Three Rivers, Donny Dahlan berkata, sasaran itu bukan sekadar menetapkan jumlah buku yang perlu dibaca, malah menjadi langkah awal membentuk budaya ilmu dan pembelajaran sepanjang hayat.

Pihak sekolah mahu murid mempunyai kesedaran serta keinginan sendiri untuk menimba ilmu menerusi bahan bacaan, bukan hanya membaca kerana diarahkan guru.

Mengulas mengenai minat membaca dalam kalangan pelajar sekolah menengah, Donny berkata, kecenderungan itu masih wujud, namun berbeza mengikut minat masing-masing.

Katanya, ada murid gemar membaca novel, bahan sejarah, agama, teknologi, sukan dan pengetahuan am, manakala sebahagian lagi hanya membaca apabila diberikan tugasan akademik.

Bagaimanapun, beliau mengakui perhatian sebahagian murid kini lebih tertumpu kepada telefon pintar, permainan dalam talian dan kandungan media sosial.

Sehubungan itu, katanya, cabaran utama sekolah adalah menjadikan aktiviti membaca lebih dekat dengan kehidupan serta minat murid.

“Guru boleh memainkan peranan dengan memperkenalkan buku menarik, mengadakan perbincangan dan ulasan buku dalam kelas serta menjadikan perkongsian ilmu sebahagian daripada budaya pembelajaran.

“Ibu bapa juga bertanggungjawab membentuk tabiat membaca anak-anak dengan menyediakan persekitaran yang menggalakkan amalan itu di rumah.

“Kita mencadangkan setiap keluarga memperuntukkan 20 hingga 30 minit sehari untuk membaca bersama-sama, selain mengetepikan telefon pintar dan mengurangkan gangguan televisyen,” jelasnya.

Tambahnya, budaya membaca perlu bergerak seiring penguasaan teknologi, termasuk keupayaan murid memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) tanpa mengabaikan kemahiran membaca, memahami, menilai dan berfikir secara kendiri.

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tellian, Syazana Abdullah @ Rupina Tambi berkata, pihaknya menyokong saranan Perdana Menteri itu kerana selari dengan matlamat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melahirkan generasi berilmu.

Sasaran dua buah buku boleh dijadikan penanda aras asas supaya murid yang kurang berminat membaca tidak berasa terbeban, manakala mereka yang sudah mempunyai tabiat membaca digalakkan menetapkan sasaran lebih tinggi.

“Sebagai usaha menarik minat murid, pihak sekolah merancang menganjurkan Pertandingan Membaca Musim Cuti Sekolah bagi menggalakkan mereka mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah.

“Pertandingan ini mendapat sokongan menerusi sumbangan ikhlas Ketua Pegawai Eksekutif Suara Sarawak dan Sarawak Tribune, Datuk Dr Jeniri Amir, bagi membolehkan pihak sekolah menyediakan ganjaran lebih bermakna kepada peserta,” katanya.

Mengulas manfaat membaca secara konsisten, Syazana berkata, amalan itu mampu meningkatkan penguasaan bahasa, memperluas kosa kata serta mengukuhkan kemahiran menulis dan bertutur.

Selain itu, pembacaan membantu mengembangkan imaginasi, membentuk pemikiran kritis dan kreatif serta meningkatkan daya tumpuan, kesabaran dan disiplin diri.

“Murid yang banyak membaca juga berpeluang meningkatkan keyakinan diri dan kemahiran komunikasi kerana mempunyai pengetahuan lebih luas serta keberanian menyampaikan pandangan,” katanya.

Justeru, beliau berharap saranan itu menjadi titik permulaan kepada pembentukan generasi yang bukan sahaja mahir membaca, malah menjadikan ilmu sebahagian daripada kehidupan seharian.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU