SEGAMAT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Segamat telah menahan seorang individu kerana kesalahan memberi rasuah semalam.
Menurut sumber, suspek lelaki berumur 30 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat kira-kira pukul 3 petang.
Difahamkan, suspek ditahan oleh anggota polis semasa pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux yang dinaiki bersama empat rakan.
Semakan kad pengenalan kesemua individu mendapati mereka mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.
“Pemeriksaan lanjut terhadap badan dan kenderaan tersebut menjumpai pelbagai jenis dadah serta alatan yang disyaki digunakan untuk jenayah pecah rumah.
“Semasa proses tangkapan, suspek telah menyogok anggota polis dengan menawarkan wang rasuah sebanyak RM18,500 dan meminta agar tidak ditangkap,” kata sumber itu hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias, ketika dihubungi, mengesahkan penahanan tersebut dan memberitahu bahawa kes ini disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009. — BERNAMA



